33 BAB DUA SOROTAN KAJIAN LEPAS 2.0 Pengenalan Bab ini akan membincangkan tentang beberapa penulisan dan kajian yang berkaitan dengan topik kajian. Perbincangan akan berasaskan kepada tujuh bahagian iaitu: i. Isu-isu berkaitan dengan perkembangan moral ii. Teori perkembangan moral iii. Penggunaan dilema moral dalam kajian penaakulan moral iv. Perbezaan jantina dan dilema sebenar v. Orientasi moral dalam penaakulan moral vi. Perbezaan jantina dalam orientasi moral vii. Orientasi moral pelajar salah laku dan tidak salah laku 2.1 Isu-isu Berkaitan dengan Perkembangan Moral Perkembangan moral sering dikaitkan dengan isu-isu kemoralan. Isu-isu kemoralan yang terkandung dalam komponen kemoralan terdiri daripada pemikiran moral, emosi moral dan tingkah laku moral. Kajian yang dijalankan ini akan berfokus kepada isu penaakulan moral yang secara khusus terkandung dalam pemikiran moral. Ketiga-tiga isu yang berkaitan dengan komponen kemoralan akan dibincangkan di dalam bab ini. Bagaimanapun, sebelum
63
Embed
33 BAB DUA SOROTAN KAJIAN LEPAS 2.0 Pengenalan Bab ini ...
This document is posted to help you gain knowledge. Please leave a comment to let me know what you think about it! Share it to your friends and learn new things together.
Transcript
33
BAB DUA
SOROTAN KAJIAN LEPAS
2.0 Pengenalan
Bab ini akan membincangkan tentang beberapa penulisan dan kajian yang
berkaitan dengan topik kajian. Perbincangan akan berasaskan kepada tujuh
bahagian iaitu:
i. Isu-isu berkaitan dengan perkembangan moral
ii. Teori perkembangan moral
iii. Penggunaan dilema moral dalam kajian penaakulan moral
iv. Perbezaan jantina dan dilema sebenar
v. Orientasi moral dalam penaakulan moral
vi. Perbezaan jantina dalam orientasi moral
vii. Orientasi moral pelajar salah laku dan tidak salah laku
2.1 Isu-isu Berkaitan dengan Perkembangan Moral
Perkembangan moral sering dikaitkan dengan isu-isu kemoralan. Isu-isu
kemoralan yang terkandung dalam komponen kemoralan terdiri daripada
pemikiran moral, emosi moral dan tingkah laku moral. Kajian yang dijalankan ini
akan berfokus kepada isu penaakulan moral yang secara khusus terkandung
dalam pemikiran moral. Ketiga-tiga isu yang berkaitan dengan komponen
kemoralan akan dibincangkan di dalam bab ini. Bagaimanapun, sebelum
34
membincangkan komponen-komponen kemoralan, penjelasan mengenai konsep
kemoralan dirasakan perlu dijelaskan. Hal ini demikian, memandangkan
orientasi moral merupakan salah satu elemen yang terkandung dalam komponen
kemoralan.
Perkataan moral pada dasarnya berasal daripada perkataan Latin iaitu
mos atau mores yang bermaksud mulia, beretika, berfikiran luas, dan rasional
(Abd. Rahim, 1993). Ia juga bererti peraturan masyarakat yang terdiri daripada
tatahukum, tatasusila atau tatatertib masyarakat (Abdul Rahman, 1999; Abdul
Rahman & Chang, 1994). Istilah kemoralan pula menitikberatkan aspek kelakuan
dan nilai hidup manusia (Falikowski, 1990; Thiroux, 1977). Walau bagaimanapun
kedua-dua istilah ini pada hakikatnya merujuk kepada akhlak seseorang (Abd
Rahim, 1993).
Sarjana barat seperti Durkheim (1961) menjelaskan kemoralan
terkandung dalam satu sistem peraturan tindakan yang menentukan tingkah
laku. Merujuk kepada kamus Webster (2007) pula, kemoralan didefinisikan
sebagai satu keadaan yang membezakan tingkah laku betul dengan tingkah laku
yang salah. Ianya juga membawa maksud “suatu perbincangan moral,
kenyataan atau pelajaran” atau “satu pegangan atau sistem kelakuan yang
bermoral” atau “keakuran terhadap kelakuan manusia yang diterima oleh orang
ramai”.
Kohlberg (1958) mendefinisikan kemoralan sebagai penentuan tingkah
laku kepada suatu peraturan yang dapat diterima oleh budaya individu.
Bagaimanapun, definisi ini akan memberi implikasi kepada budaya tempatan.
35
Budaya individu yang dibentuk adalah agak berbeza dengan budaya individu di
negara ini. Ini berikutan individu di negara ini hidup bermasyarakat, maka budaya
hidup bermasyarakat harus dititikberatkan agar setiap individu dapat diterima
sebagai ahli sesebuah masyarakat. Oleh itu, dalam budaya tempatan, kemoralan
perlu dirujuk juga sebagai peraturan yang dapat diterima oleh budaya sesuatu
masyarakat itu.
Definisi kemoralan ini sedikit sebanyak menyentuh mengenai konsep
keadilan yang telah diutarakan oleh Kohlberg (1981), di mana Kohlberg
menyatakan, keadilan bukan suatu peraturan atau sistem peraturan, sebaliknya
keadilan ialah prinsip moral yang membawa maksud memilih sesuatu peraturan
yang bersifat sejagat dan diterima oleh masyarakat dalam sebarang situasi.
Pada dasarnya, kemoralan ialah satu ukuran yang digunakan untuk
memimpin individu dan kumpulan kecil dalam kehidupan mereka. Falikowski
(1990) menjelaskan bahawa kemoralan berkait dengan kehidupan manusia dan
hubungan antara perseorangan serta berkait rapat dengan konflik dan nilai.
Tindakan yang tidak ada kesan terhadap kehidupan orang lain atau tindakan
yang tidak melibatkan konflik adalah tidak berkaitan langsung dengan soal moral
dan ini di luar maksud kemoralan.
Wilson (1973) menjelaskan bahawa terdapat empat komponen kemoralan
yang meliputi aspek fikiran, aspek emosi, aspek pengetahuan dan aspek tingkah
laku. Menurutnya, aspek fikiran menyentuh mengenai persepsi individu
manakala aspek emosi menyentuh mengenai emosi diri dan emosi orang lain.
Aspek pengetahuan pula menyentuh mengenai fakta berkenaan sesuatu
36
keadaan dan aspek tingkah laku merujuk kepada tindakan individu yang
disebabkan oleh fikiran, emosi dan pengetahuan yang dipunyai oleh individu
tersebut.
Thiroux (1977), juga telah mengkategorikan kemoralan kepada empat
iaitu kemoralan agama, iaitu merujuk kepada hubungan manusia dengan tuhan.
Kedua, kemoralan naturalis iaitu merujuk kepada tanggungjawab manusia
terhadap alam semulajadi. Yang ketiga, kemoralan individualisme merujuk
kepada kepentingan individu dan yang terakhir kemoralan sosial yang memberi
perhatian kepada hubungan antara individu. Apa yang jelas, kemoralan
membawa maksud mengikuti secara reflektif segala peraturan masyarakat serta
memupuk sifat-sifat murni dan peraturan masyarakat yang digubal berdasarkan
prinsip autonomi, keadilan dan altruisme (Abdul Rahman, 1986).
Abdul Rahman (1986) menjelaskan, prinsip autonomi melibatkan tingkah
laku berdasarkan penaakulan yang rasional dan ianya perlulah bersandarkan
pemikiran diri sendiri. Prinsip keadilan pula menekankan keupayaan individu
melakukan sesuatu secara adil dan tidak mengikut perasaan. Prinsip altruisme
pula membawa maksud melakukan sesuatu perbuatan adalah untuk memberi
manfaat kepada orang lain. Prinsip ini lebih digerakkan oleh emosi moral seperti
rasa simpati.
Perbincangan di atas jelas menunjukkan bahawa kemoralan penting
memandangkan manusia hidup bermasyarakat. Hidup bermasyarakat ini
melibatkan peraturan yang perlu diikuti demi menjamin kesejahteraan
masyarakat itu. Oleh itu, sebagai anggota masyarakat, individu perlu memahami
37
peraturan-peraturan masyarakat dan mengikutnya bukan kerana dipaksa tetapi
kerana dia autonomous dan boleh berfikir serta mengambil tindakan mengikut
situasi (Tan, 2001; Wilson, 1973).
Kesimpulannya, tindakan moral terhasil daripada persembahan mental
bagi situasi yang diberi. Setiap pelajar perlu mempunyai kekuatan moral iaitu
kebolehan mengawal kelemahan moralnya. Kelemahan moral boleh diatasi
sekiranya pelajar-pelajar berupaya membuat penaakulan moral kerana sikap
tersebut akan membantu pembentukan tingkah laku moral yang positif.
2.1.1 Penaakulan Moral
Penaakulan moral bermaksud keupayaan membuat penaakulan, berfikir
rasional dan memberi perhatian kepada pilihan dan kesan-kesan daripadanya
(Downey & Kelly, 1982). Piaget (1932) adalah pengasas dalam kajian yang
melibatkan penaakulan moral. Usaha beliau kemudiannya dikembangkan dan di-
murnikan oleh Kohlberg (1976,1981). Menurut Kohlberg, perkembangan moral
melibatkan peningkatan kematangan apabila berdepan dengan satu-satu situasi
yang melibatkan dilema. Kematangan penaakulan moral ini telah dibahagikan
kepada tiga tahap dan melibatkan enam peringkat di mana setiap tahap
mempunyai dua peringkat.
Kohlberg (1981) juga menjelaskan penaakulan moral ini merujuk kepada
proses menilai pemikiran apabila seseorang individu tersebut memilih bentuk
pemikiran dan tindakan yang sesuai dalam sistem nilai seseorang. Melalui
proses penaakulan moral, seseorang dapat menentukan apa yang baik dan yang
38
tidak dalam sesuatu situasi. Memandangkan penaakulan moral melibatkan
proses pemikiran maka apa yang difikirkan baik akan dilahirkan dalam bentuk
tindakan dalam sesuatu situasi moral. Bagaimanapun, terdapat kemungkinan
apa yang difikirkan baik mungkin tidak dapat dilakukan, kemungkinan
disebabkan nilai-nilai yang baik itu tidak dihayati (Rothman, 1980; Wan Hasmah,
2000).
Pandangan ini disokong oleh Straughan (1989) yang menyatakan
terdapat keadaan di mana penaakulan moral difahami dari segi teori sahaja dan
tidak diterjemahkan dalam bentuk amalan. Menurut Straughan lagi, individu
yang gagal melaksanakan penaakulan moral yang telah dibuat dianggap belum
terdidik dari segi moral. Kay (1975) pula menyatakan penaakulan moral yang
telah dibuat tidak dapat diterjemahkan dalam bentuk tindakan kerana
kadangkala tindakan yang ingin dilakukan itu dipengaruhi oleh komponen
kemoralan yang lain seperti emosi moral.
Dalam hal ini, Kohlberg (1975) menyatakan penaakulan moral adalah
komponen kemoralan yang terpenting memandangkan pemikiran yang
menentukan tingkah laku seseorang. Kenyataan ini adalah berlandaskan kajian
beliau terhadap tingkah laku meniru dalam peperiksaan terhadap sekumpulan
pelajar. Didapati mereka yang membuat penaakulan pada peringkat yang tinggi
kurang melibatkan diri dalam aktiviti salah laku iaitu meniru dalam peperiksaan.
Pandangan Kohlberg ini juga telah disokong oleh pengkaji lain seperti Walker
(1986b).
39
2.1.2 Emosi Moral
Emosi moral pula merujuk kepada perasaan yang ‘betul’ yang melibatkan
kerasionalan dalam sesuatu situasi yang dihadapi (Downey & Kelly, 1978).
Emosi moral melibatkan perasaan serta suara hati yang mampu memotivasikan
seseorang untuk bertindak secara moral dan meyakini keputusan dan tindakan
tersebut. Perasaan moral ini berupaya menyekat perlakuan tidak bermoral dan
membawa kepada tindakan secara bermoral. Wilson (1973) menjelaskan emosi
moral memerlukan seseorang mengenal pasti emosi diri dan emosi orang lain.
Melalui cara ini individu akan lebih prihatin kepada orang-orang di sekeliling
mereka. Penekanan terhadap akal dan fikiran menyebabkan komponen
kemoralan ini kurang diberikan perhatian (Abdul Rahman & Chang, 1994).
Berk (1989) menjelaskan bahawa emosi moral adalah komponen
kemoralan yang perlu diberikan perhatian dalam kehidupan kerana setiap
manusia perlu mengimbangi akal fikiran dan emosi masing-masing bagi
membentuk tingkah laku yang diingini. Dengan kata lain, emosi moral seseorang
adalah lebih peka dengan perasaan dan keperluan orang lain. Spiecker (1988)
mengatakan setiap orang memerlukan dua jenis emosi dalam diri mereka iaitu
emosi peraturan dan emosi altruistik. Emosi peraturan melibatkan perasaan
seperti rasa bersalah, rasa keadilan, malu dan menyesal apabila terlibat dengan
perkara-perkara yang melanggar peraturan. Manakala emosi altruistik ialah
perasaan murah hati, simpati dan kasihan terhadap orang lain.
Bull (1969) berpendapat pendidikan perlu juga memberi perhatian kepada
emosi moral. Beliau berpendapat sedemikian memandangkan emosi yang tidak
40
dikawal mampu merosakkan penaakulan yang rasional. Menurutnya lagi, emosi
adalah penting untuk memotivasikan dan mengawal tingkah laku.
2.1.3 Tingkah Laku Moral
Tingkah laku moral pula menurut Abdul Rahman & Chang (1994), adalah
segala yang dilakukan oleh seseorang individu berkaitan dengan peraturan
moral secara konsisten dan iltizam. Peraturan moral memberi panduan kepada
seseorang bertingkah laku moral pada bila-bila masa. Eow (2000) berpendapat
tingkah laku moral berkaitan dengan pemahaman sebab yang baik dan
munasabah dan bertindak dengan penuh tanggungjawab mengikut kemampuan
sendiri terhadap sesuatu keputusan berlandaskan penaakulan dan emosi moral.
Tan (2001) pula menjelaskan tingkah laku moral merupakan komponen
kemoralan yang ‘overt’ apabila individu melakukan tingkah laku moral selepas
proses penaakulan moral dan dipengaruhi oleh emosinya. Walau bagaimanapun,
Wilson (1973) menyatakan pemupukan tingkah laku moral bukan secara semula
jadi, tetapi memerlukan latihan berulang kali melalui proses pengulangan. Apa
yang penting menurutnya, setiap tingkah laku perlu ditunjuk ajar sehingga
menjadi kebiasaan individu tersebut.
Tujuan bertingkah laku secara moral perlu disokong dan didorong oleh
sebab melakukan tingkah laku tersebut. Sekiranya tujuan tingkah laku tersebut
adalah untuk mematuhi peraturan yang telah ditetapkan maka tingkah laku ini
dianggap tingkah laku moral (McKinnon, 1995). Walau bagaimanapun, motif
melakukan tingkah laku perlu juga diambil kira (Benninga, 1988; Wilson, 1973;
41
Kay, 1975). Apa yang jelas ialah sesuatu tingkah laku itu dikira bermoral atau
tidak bermoral bukan kerana kesan tingkah laku tetapi ditentukan oleh motifnya.
Jika motifnya adalah untuk menunaikan kewajipan, maka motif ini dianggap
tingkah laku bermoral dan sebaliknya jika untuk kepentingan diri sendiri maka
dianggap tingkah laku yang tidak bermoral (Benninga, 1988).
Kesimpulannya, kepentingan ketiga-tiga komponen kemoralan ini perlu di
berikan perhatian dalam Pendidikan Moral (Berk, 1989; Rothman, 1980; Wilson,
1973). Bagaimanapun, kajian mengenai komponen pemikiran iaitu penaakulan
moral sering dilihat sebagai satu dimensi yang penting dalam menentukan
tingkah laku individu. Penaakulan moral yang dititikberatkan dalam kajian-kajian
Pendidikan Moral dijangka mampu mengawal emosi dan tingkah laku (Kohlberg,
1975). Oleh itu, kajian ini telah memberikan tumpuan yang khusus kepada
komponen pemikiran sahaja dengan menitikberatkan kepada kandungan
penaakulan moral iaitu orientasi moral dan bukannya struktur penaakulan moral
iaitu peringkat-peringkat penaakulan moral.
2.2 Teori Perkembangan Moral
Tavecchio, Stams, Brugman dan Thomeer-Bouwens (1999) menjelaskan
salah satu matlamat jangka panjang mengkaji perkembangan moral adalah
untuk memahami serta menjangka tingkah laku moral, termasuk salah laku.
Secara empirikal, hubungan antara kecekapan pertimbangan moral atau
penaakulan moral dan salah laku merupakan cabang kajian yang terbukti
penting pada dekad ini (Gregg, Gibbs & Basinger, 1994).
42
Kajian mengenai perkembangan moral telah membantu pelbagai lapisan
masyarakat mengenal pasti hubungan persekitaran dengan manusia (Raths,
Harmin & Simon, 1978) pengaruh nilai-nilai moral ke atas tingkah laku manusia
secara menyeluruh telah membantu individu mengaitkan teori-teori ini dengan
perkembangan moral individu. Downey dan Kelly (1978) menjelaskan bahawa
ketiga-tiga teori ini berfungsi bersama untuk memberi pandangan terhadap
aspek yang berbeza dalam perkembangan moral individu dan pandangan ini
tidak bercanggah antara satu sama lain. Di bawah dijelaskan dengan lebih lanjut
tentang teori-teori perkembangan moral ini.
44
2.2.1 Teori Psiko Seksual Freud
Teori ini diasaskan oleh Sigmund Freud (1856-1939). Teori ini dinamakan
sedemikian kerana teori ini menghubungkaitkan perkembangan personaliti
kanak-kanak dengan perkembangan seksnya (Mahmood 1992). Freud
menjelaskan sifat biologi memainkan peranan yang penting dalam
perkembangan manusia. Teori ini menekankan konsep psikodinamik yang
dikenali sebagai libido, iaitu tenaga seks yang ada pada setiap manusia semasa
dilahirkan. Mengikut Teori Psikoseksual, libido inilah yang menggerakkan
tingkah laku seseorang itu. Mengikut saranan Teori Psikoseksual Freud, semasa
kanak-kanak dilahirkan, dia dikuasai sepenuhnya oleh tenaga libido dan
nalurinya sendiri (Lauzun 1964).
Freud pada mulanya telah mengutarakan suatu teori yang membahagikan
akal fikiran manusia kepada tiga lapisan yang berbeza. Ia membahagikan fikiran
manusia kepada alam sedar, alam prasedar dan alam tidak sedar (Mac Intyre,
1958). Mahmood (1992) menerangkan bahawa Freud menjelaskan dalam alam
sedar, manusia menyedari dan mengetahui apa yang telah berlaku dan sedang
berlaku kepadanya, juga kepada persekitarannya. Manakala dalam alam
prasedar yang letaknya antara alam sedar dan alam tidak sedar, individu
sebenarnya tidak menyedari dan tidak tahu yang sesuatu itu sedang berlaku
melainkan jika dia secara sedar memberi perhatian kepada apa yang berlaku itu.
Dalam alam yang tidak sedar pula, individu memang tidak menyedari langsung
apa yang berlaku. Walaupun idea ini pada mulanya amat menarik hati Freud,
tetapi teori ini tidak berupaya untuk menjelaskan dengan lebih lanjut dan teliti
45
lagi, ia pun mengemukakan pandangannya yang kedua. Idea kedua yang
diutarakan oleh Freud melihat fikiran manusia sebagai suatu sistem yang
mengandungi tiga sistem utama yang dinamakan Id, Ego, dan Superego (Mac
Intyre, 1958).
Menurut Corey (1982), Freud menjelaskan manusia dilahirkan dengan
naluri-naluri kebinatangan yang bersifat jahat. Kehidupannya ditentukan dari
awal lagi oleh naluri-naluri ini. Lantaran dorongan dari naluri-naluri ini seseorang
boleh bertindak secara tidak rasional dan tidak logik. Semua kuasa naluri ini
tersimpan dalam suatu sistem tenaga. Tenaga ini tidak bertambah, dan tidak
pula pernah berkurangan. Tenaga ini sering menjadi rebutan antara id, ego dan
superego, kerana sistem yang mempunyai paling banyak tenaga akan berkuasa
mengawal tingkah laku dan kehidupan manusia itu.
Tenaga yang berasal daripada naluri ini boleh dikatakan terbahagi dua
(Mahmood,1992), iaitu:
a. tenaga hidup (naluri hidup, libido atau Eros) yang sentiasa berusaha untuk
melanjutkan zuriat manusia. Tenaga ini tidak terbatas semata-mata
kepada tenaga seks sahaja, tetapi meliputi juga usaha-usaha ke arah
mengembang, membina dan mendorong kreativiti manusia. Tenaga ini
merupakan tenaga penggerak atau motivasi yang mendorong manusia
untuk mencari keseronokan dan mengelakkan kesakitan.
b. tenaga mati atau naluri mati atau Thanatos yang terjelma dalam bentuk
dorongan-dorongan agresif. Oleh itu, terdapat ketika di mana manusia
46
cuba menyakiti dirinya sendiri atau membunuh dirinya sendiri atau pun
orang lain.
Kedua-dua tenaga inilah yang bertanggungjawab terhadap tingkah laku
manusia yang mempamerkan personaliti seseorang individu. Corey (1982)
menjelaskan personaliti seseorang pula mengandungi tiga sistem iaitu, id, ego
dan superego. Ketiga-tiga sistem ini bukanlah sesuatu yang konkrit tetapi
berinteraksi antara satu sama lain bagi menghasilkan tingkah laku tertentu yang
dikenali sebagai personaliti seseorang. Menurut Freud, id dianggapnya sebagai
komponen biologi, ego pula dianggap sebagai komponen psikologi manakala
superego pula sebagai komponen sosial dan nilai-nilai moral masyarakat.
Id ialah sistem asal, yang wujud sejak individu dilahirkan, malah
bersama-sama individu itu sendiri kerana sifatnya sebagai sistem biologi. Id juga
merupakan punca utama bagi tenaga jiwa dan pusat bagi semua naluri. Id
bertindak secara membabi buta dan tidak mempunyai sistem organisasi yang
teratur. Id hanya tahu mendesak dan memaksa (Lauzun, 1964). Satu ciri yang
jelas mengenai id ialah, id tidak pernah matang dan membesar, walaupun
individu yang memilikinya sudah bertambah umur dan kian matang
pemikirannya. Oleh sebab itu, kita dapati id ini bertindak secara tidak logik, tidak
bermoral dan hanya mempunyai satu matlamat iaitu memuaskan nafsu naluri
semata-mata pada setiap masa. Tindakan dan dorongan-dorongan yang dibuat
oleh id ini bersifat tidak sedar (Lauzun, 1964).
47
Ego merupakan tenaga jiwa yang berasal daripada id, tetapi ego amat
berbeza dengan id. Ego mengawal jenis-jenis tindakan yang hendak dilakukan,
memilih persekitaran-persekitaran yang sesuai serta menentukan naluri mana
yang akan dipuaskan dan cara naluri-naluri ini dipuaskan. Ego dipandu oleh
prinsip realiti, dan kerana itu segala tindak tanduknya mestilah dilakukan setelah
menimbangkan dengan baik segala perkara yang wujud dalam realiti (Berk,
1989). Ego berada di tengah-tengah id dan superego. Ego memerlukan
pemikiran yang waras dan logik dalam melaksanakan tugas-tugas ini dengan
baik dan jayanya. Ego bertindak melalui proses kedua atau sekunder di mana
pemikiran yang logik dan rasional digunakan bagi merancang dan melaksanakan
sesuatu tindakan untuk mengurangkan ketegangan. Ego dapat bertindak
sebegini kerana mempunyai kuasa atau kawalan ke atas fungsi kognitif atau
intelektual (Hall & Lindzey, 1978). Perlu dijelaskan di sini bahawa ego wujud
bagi memuaskan kehendak-kehendak id dan bukan untuk menghampakannya.
Superego merupakan komponen sosial atau moral. Superego merupakan
cabang moral atau kehakiman bagi sesuatu personaliti itu. Superego
bertanggungjawab di dalam menentukan apakah sesuatu tingkah laku itu baik
atau buruk, betul atau salah. Menurut Freud (1949), superego bersifat idealistik
dan sempurna. Superego merupakan nilai-nilai tradisi serta ideal yang diturunkan
dari generasi ke generasi. Superego bertanggungjawab untuk menyekat ego
dari menuruti kehendak id, di samping mendorong ego untuk menerima nilai-nilai
dan matlamat-matlamat moral (Freud, 1949). Ia menentukan ganjaran dan
denda. Ganjaran yang diberikannya berbentuk perasaan bangga, manakala
48
denda pula berbentuk perasaan bersalah dan rendah diri. Sama seperti ego,
superego juga berpunca dari tenaga id, yang dari kecil lagi sudah mula
menerima penentuan masyarakat melalui didikan keluarga.
Pendek kata, fungsi-fungsi utama superego ialah menyekat desakan-
desakan id, terutama sekali yang berbentuk seks, kerana desakan-desakan ini
amat dicemuh oleh masyarakat; memujuk ego untuk menggantikan matlamat
realistik dengan matlamat moral dan berusaha ke arah mencapai kesempurnaan.
Umumnya, setiap individu melalui lima peringkat perkembangan moral yang
masing-masing memperlihatkan penekanan dan ciri-ciri tertentu. Pada setiap
peringkat ini, individu akan menghadapi proses pertumbuhan yang bersifat
fisiologi; kekecewaan; konflik dan ancaman (Hall & Lindzey, 1978). Proses
pertumbuhan ini yang akan menjadi unsur-unsur yang akan mencabar individu
itu untuk bertindak balas. Ada kalanya perkembangan moral ini akan tersekat
oleh dua faktor utama iaitu:
a. individu berkenaan tidak mendapat kepuasan yang cukup dalam
sesuatu peringkat itu untuk membolehkannya berkembang kepada
tahap yang lebih tinggi;
b. individu yang berkenaan mungkin mendapat terlalu banyak kepuasan
pada peringkat tertentu sehingga ia tidak mahu berpindah ke peringkat
yang lebih tinggi kerana ia terlalu selesa pada peringkat ini.
Kelima-lima peringkat yang dikemukakan oleh Freud (1967) ialah:
a. peringkat mulut - tahun pertama
b. peringkat dubur - tahun 1-3;
49
c. peringkat zakar dan faraj - tahun 3-5;
d. peringkat latensi - tahun 5-12;
e. peringkat syahwat - dewasa.
Menurut Freud perkembangan moral individu hampir lengkap pada usia
lima tahun (Berk, 1989). Tambah beliau, pengalaman pada usia kanak-kanak
serta hubungan mereka dengan ibu bapa akan membentuk sahsiah moral
individu bila besar nanti. Menurut teori ini sahsiah seseorang individu itu telah
pun ditetapkan pada usia kecil dan ini tidak dapat diubah. Pandangan teori ini
kurang popular dalam bidang pendidikan dan tidak sesuai digunakan untuk
meningkatkan penaakulan moral individu kerana sekiranya sahsiah moral telah
ditetapkan sejak usia muda maka tidak perlulah program pendidikan moral
diwujudkan yang bertujuan membentuk pemikiran moral, emosi moral dan
tingkah laku moral.
2.2.2 Teori Pembelajaran Sosial
Teori pembelajaran sosial menggunakan prinsip kesalingan dalam
interaksi manusia dengan alam persekitarannya. Manusia dianggap sebagai
agen perubahan dan mempengaruhi persekitarannya dengan cara pembelajaran
mengikut percontohan (Bandura, 1963). Manusia mempunyai daya rangsangan
pemikiran yang boleh menggerakkan proses secara simbolik serta berupaya
membuat peraturan pilihannya secara sendiri (Sieber, 1980).
Kefahaman seperti ini memberi penekanan bahawa tingkah laku
ditumpukan ke arah individu dan huraian analisis tentang individu dikaitkan
50
dengan keadaan kehidupan psikologinya. Tingkah laku mula difahami dengan
menumpu pada cara individu berinteraksi dengan orang lain yang signifikan
dalam masyarakat. Di samping berupaya mengubah tingkah laku mereka
mengikut matlamat dan ideal yang dikehendaki sealiran dengan usaha
memahami budaya alam sekelilingnya. Teori Pembelajaran Sosial menganggap
kanak-kanak belajar tingkah laku yang diingini melalui proses peneguhan positif
dan negatif, serta melalui pemerhatian dan peniruan tingkah laku yang diterima
oleh masyarakat (Bandura & Walters, 1963).
Othman Mohamed (1997), menyatakan Bandura melihat personaliti
sebagai interaksi antara tiga perkara iaitu persekitaran, tingkah laku serta proses
psikologi seseorang itu. Menurutnya, kelakuan manusia saling bertindak secara
berterusan antara kognitif, kelakuan dan agen penentu persekitaran. Mengikut
pandangan Teori Pembelajaran Sosial, manusia tidak didorong oleh kuasa
dalaman atau didesak oleh stimulus persekitaran. Teori Pembelajaran Sosial
memperakui bahawa kebanyakan kelakuan manusia dipelajari melalui
pemerhatian terhadap percontohan (Bandura, 1986; Eisenberg & Mussen, 1989).
Melalui proses pemerhatian terhadap orang lain, seseorang individu membentuk
satu idea bagaimana kelakuan dilaksanakan dan apakah kesannya. Maklumat
yang telah direkodkan ini bertindak sebagai panduan untuk tindakan. Oleh sebab
manusia boleh belajar daripada contoh sebelum melaksanakan sendiri kelakuan
tersebut, ini membantu mereka terselamat daripada melakukan percubaan dan
kesilapan.
51
Seterusnya, mengikut teori ini manusia tidak semata-mata bertindak
kepada pengaruh luaran, seolah-olah mereka merupakan organisma yang tidak
berfikir. Namun hakikatnya, manusia sebenarnya memilih, mengelola, dan
memindahkan stimulus yang meninggalkan kesan terhadap mereka (Bandura,
1986). Menurut Bandura (1973,1977), dalam proses peniruan terdapat beberapa
langkah yang perlu diikuti di mana proses ini melibatkan perhatian, pengekalan,
tindak balas motor dan motivasi. Dalam proses memberi perhatian seseorang
akan mempelajari sesuatu sekiranya memberikan perhatian. Selepas proses
memberi perhatian, proses kedua ialah proses pengekalan. Dalam proses ini
individu perlu mengingati sama ada dalam bentuk gambaran atau perkataan.
Proses ketiga memerlukan individu menterjemahkan gambaran dan perkataan
itu dalam bentuk tingkah laku sebenar. Akhir sekali ialah proses motivasi, di
mana tanpa motivasi individu tidak akan meniru. Hal ini menyebabkan ibu bapa
mencorakkan tingkah laku anak-anak mereka dengan tiga cara iaitu ganjaran,
hukuman dan menjadi teladan. Tingkah laku yang dikehendaki diberi peneguhan
positif seperti pujian dan tingkah laku yang tidak diingini diberi peneguhan
negatif seperti hukuman. Menurut Berk (1989) peneguhan positif adalah cara
yang paling sesuai untuk mendapatkan tingkah laku yang diingini.
Bandura (1986) mengemukakan satu bentuk pendekatan perlakuan
berasaskan kepada sistem interaksi antara tiga aspek iaitu rangsangan dari
acara luaran, peneguhan luaran dan proses perantara secara kognitif. Oleh
kerana beliau telah memberi perhatian yang serius ke atas konsep kognitif
(Bandura, 1986; Bandura & Walters, 1963). Bandura telah memulakan kajian ke
52
atas pengaruh kognitif terhadap pembelajaran sosial. Teori ini menekankan
kepentingan aspek pemikiran dan faktor kognitif dalaman. Beliau mula memberi
fokus kepada cara kanak-kanak dan dewasa menggunakan keupayaan kognitif
dalam pengalaman sosial dan bagaimana cara pemikiran ini mempengaruhi
tingkah laku dan perkembangannya. Bandura menjelaskan reaksi orang-orang di
sekeliling kanak-kanak akan membantu kanak-kanak ini untuk memahami
tingkah laku yang diingini oleh masyarakat. Ini akan memerlukan kanak-kanak
menggunakan kognitif untuk taakulan, memilih dan menjadikan tingkah laku
sebagai pegangan. Oleh sebab teori ini mula menekankan aspek kognitif, pada
tahun 1986, Bandura memberi nama baru kepada Teori Pembelajaran Sosial
iaitu Teori Sosial Kognitif.
Kesimpulannya, perkembangan moral dalam teori ini dilihat sebagai
perubahan yang diperoleh hasil daripada interaksi antara pengaruh sosial dan
kebolehan kognitif yang sering berubah.
2.2.3 Teori Perkembangan Kognitif
Pakar-pakar perkembangan kognitif seperti Jean Piaget, Lawrence
Kohlberg dan Elliot Turiel mendakwa bahawa perkembangan moral bersifat
universal dalam dua perkara:
1. Setiap individu dalam semua kebudayaan melalui peringkat-
peringkat perkembangan moral yang sama.
53
2. Perkara yang mendasari setiap peringkat perkembangan moral
adalah konsep-konsep moral yang serupa seperti kewajipan, keadilan dan
tanggungjawab.
Teori perkembangan moral kognitif buat pertama kalinya diutarakan oleh
seorang saintis sosial bernama McDougall (1926). Beliau telah memerhatikan
bahawa terdapat empat peringkat dalam tingkah laku manusia iaitu tahap
kelakuan bersifat naluri yang diubah suai hanya dipengaruhi oleh kesakitan dan
kepuasan yang dialami secara kebetulan dalam menjalankan aktiviti-aktiviti yang
bersifat naluri. Kedua, tahap di mana operasi gerak hati yang bersifat naluri,
diubah suai dengan dipengaruhi oleh ganjaran dan hukuman, dan dijaga dengan
sistematik oleh persekitaran sosial. Ketiga, tahap di mana kelakuan dikawal
dalam pujian sosial atau tuduhan sosial. Keempat, tahap tertinggi, di mana
kelakuan adalah dikawal oleh perilaku yang ideal yang membolehkan seorang
lelaki bertindak mengikut apa yang betul baginya tanpa mengambil kira pujian
atau tentangan terhadap persekitaran sosial yang terhampir dengannya.
Pengikut McDougall yang agak terkenal dengan peringkat-peringkat
perkembangan kognitif mereka adalah seperti Gesell (1954) dan Peck &
Havighurst (1960).
2.2.3.1 Pandangan Piaget terhadap Perkembangan Moral
Piaget (1932) merupakan pelopor yang telah menggunakan peringkat-
peringkat moral dalam perkembangan kognitif. Dasen dan Heron (1984)
54
mengatakan yang teori perkembangan kognitif Piaget bukanlah suatu teori
psikologi tetapi ialah satu pandangan epistemologi, iaitu suatu falsafah
pengetahuan (Philosophy of Knowledge) yang diperoleh melalui pemerhatian
terperinci yang dilakukan ke atas beribu-ribu kanak-kanak pada pelbagai tahap
umur dan perkembangan. Walau bagaimanapun, melalui kaedah ini, Piaget telah
berjaya mengemukakan konsep-konsep tentang perkembangan kanak-kanak
yang telah diterima sebagai satu teori komprehensif yang meliputi kesemua
budaya dan masyarakat (Mahmood Nazar, 1992).
Piaget (1965) telah memberi tumpuan kepada Perkembangan Kognitif
kanak-kanak yakni dengan memberi penekanan mengenai bagaimana manusia
berfikir dan memahami. Dengan melihat kepada anak-anaknya sendiri beliau
cuba memahami bukan sahaja apa yang mereka fahami tetapi juga bagaimana
mereka memberi makna kepada dunia. Pemerhatian secara teliti menunjukkan
kanak-kanak menjadi matang secara biologi dan juga melalui pengalaman
sosial. Menurut Piaget setiap manusia melalui empat tahap perkembangan
kognitif iaitu tahap deria motor, tahap praoperasi, tahap operasi konkrit dan
tahap operasi formal.
Perkembangan moral pula ditentukan dalam tiga tahap. Tahap pertama
adalah tahap pramoral. Pada tahap ini kanak-kanak berminat dengan diri sendiri
sahaja dan mengutamakan pandangan sendiri. Pada peringkat kedua iaitu
peringkat heteronomous, kanak-kanak lebih berhati-hati dan berminat pada
orang lain. Pada peringkat ini perasaan hormat kepada pihak yang berkuasa
serta berupaya menerima peraturan. Kanak-kanak juga berupaya membuat
55
pertimbangan moral iaitu menentukan baik buruk atau betul salah melakukan
sesuatu perkara. Peneguhan dalam bentuk ganjaran dan hukuman diambil kira
dalam peringkat ini.
Peringkat yang terakhir pula ialah kemoralan autonomous. Pada peringkat
ini kanak-kanak mengambil berat tentang kebajikan dan minat masing-masing.
Perasaan hormat pada orang lain juga mula dititikberatkan. Piaget menjelaskan
pada peringkat ini kanak-kanak menganggap peraturan boleh berubah-ubah
berdasarkan kerjasama dan rasa hormat pada orang lain. Keputusan moral tidak
lagi pada kehendak undang-undang autoritarian tetapi segala aspek boleh
diambil kira. Keupayaan melihat sesuatu perkara daripada pelbagai sudut
bertambah, ini meningkatkan keupayaan seseorang menkonseptualisasi dilema
moral (Kurtines & Greif, 1974)
Sumbangan Piaget terhadap perkembangan moral telah dikembangkan
oleh Kohlberg (1963, 1964, 1969, 1976,1981, 1984). Pada kali ini kajian-kajian
oleh Kohlberg telah mengambil kira semua peringkat umur dari golongan kanak-
kanak sehinggalah golongan dewasa.
2.2.3.2 Pandangan Kohlberg terhadap Perkembangan Moral
Selepas kajian secara intensif oleh teori Piaget, Kohlberg (1969) telah
memperkembang peringkat perkembangan moral kepada enam di mana setiap
peringkat mewakili cara tertentu seseorang berfikir mengenai dilema moral.
Menurut Walker dan Moran (1991), teori perkembangan kognitif Kohlberg telah
berjaya menarik minat pengkaji menjalankan pelbagai kajian dan penilaian,
56
kerana Kohlberg menegaskan bahawa teorinya dapat diaplikasikan di serata
dunia. Tambahnya lagi, teori Kohlberg mempamerkan pelbagai kontroversi
memandangkan teorinya berakar umbi kepada falsafah moral di barat serta
ideologi liberal sains sosial. Disebabkan kontroversi ini maka kajian demi kajian
dijalankan bagi menguji teori ini dalam budaya yang berlainan seperti di Papua
New Guinea (Tietjen & Walker, 1985), di negara China (Walker & Moral, 1991),
di Israel (Wainryb, 1995), di Pakistan (Maqsub, 1978) dan di negara-negara lain.
Kajian yang menyentuh tentang penaakulan moral dan perbezaan gender
juga banyak dilakukan seperti oleh Flanagan dan Jackson (1987), Galotti,
Kuzberg dan Farmer (1991), Gilligan (1977,1979,1982a,1982b), Meehan (1984),
Rothbart, Hanley dan Albert (1986) dan ramai pengkaji lagi. Kajian Kohlberg
yang pertama bermula pada tahun 1958 di mana respondennya terdiri daripada
kanak-kanak dan remaja lelaki berusia 10,13 dan 16 tahun daripada keluarga
kelas pertengahan dan kelas rendah dari Bandar Chicago. Beliau kemudiannya
telah menggunakan responden yang terdiri daripada kanak-kanak yang lebih
muda, remaja, lelaki dan perempuan dari beberapa buah bandar di Amerika dan
beberapa negara lain. Kajian secara jangka panjang juga telah dijalankan di
perkampungan dan bandar Turki bagi sekumpulan kanak-kanak lelaki pada usia
yang sama dan kajian secara rentas budaya juga telah dijalankan di Canada,
Britain, Israel, Taiwan, Yucatan, Honduras dan India (Kohlberg, 1986).
Beliau telah menggunakan dilema hipotetikal untuk menentukan peringkat
penaakulan moral. Kohlberg sebenarnya berminat untuk mengetahui penaakulan
moral seseorang di sebalik jawapan yang diberi dan bukannya jawapan ‘ya’ atau
57
‘tidak’ apabila memberi respons kepada dilema moral yang diberikan. Tumpuan
utama Kohlberg ialah penaakulan moral. Lawrence Kohlberg dalam kajian
selama 20 tahun merumuskan terdapat tiga tahap perkembangan moral dan
setiap satu tahap terdapat dua peringkat. Susunan dalam enam peringkat ini
adalah mengikut keupayaan seseorang memberi sebab dan alasan kepada
dilema moral yang diberikan dalam menangani isu moral.
Menurut Colby dan Kolhberg (1987), setiap pertimbangan moral yang
dibuat oleh individu adalah menggambarkan peringkat terkini perkembangan
moral mereka. Pandangan Kohlberg bahawa peringkat baru mengambil alih dan
menggantikan peringkat yang lama semasa perkembangan moral. Apabila
seseorang berada dalam satu-satu peringkat mereka dijangka mempamerkan
satu bentuk pertimbangan moral, manakala apabila seseorang berada dalam
peringkat peralihan, mereka dijangka membuat pertimbangan moral yang
mempamerkan peringkat terkini dan yang lebih tinggi mengikut susunan (Colby &
Kohlberg, 1987).
Teori Perkembangan Kognitif Kohlberg yang menjelaskan mengenai
perkembangan penaakulan moral telah berjaya menarik perhatian pengkaji
barat, memandangkan saranan beliau bahawa teorinya adalah bersifat sejagat
(Walker & Moran, 1991). Bagi menentukan kesejagatan teorinya banyak kajian
telah dijalankan terutama dalam budaya, bahasa dan cara hidup yang berbeza
daripada yang di barat seperti yang dijalankan di Papua New Guinea (Tietjen &
Walker, 1985) dan di Republik China (Walker & Moran, 1991).
58
Selama tiga puluh tahun melakukan kajian, Kohlberg telah mengenal
pasti terdapatnya tiga tahap penaakulan moral. Setiap tahap dibahagikan kepada
dua peringkat. Kajiannya meliputi mereka daripada pelbagai peringkat umur,
latar belakang budaya dan sosioekonomi yang memberi sebab dan alasan
kepada dilema moral dalam peringkat-peringkat yang bersifat hierarki, berurutan
dan invarian (Snarey, 1985). Menurut Kohlberg (1976), enam peringkat moral
yang telah dibahagikan kepada tiga tahap utama. Ini dikenali, tahap
prakonvensional (peringkat 1 dan 2), tahap konvensional (peringkat 3 dan 4),
dan tahap pascakonvensional (peringkat 5 dan 6). Menurutnya peringkat yang
lebih tinggi dalam setiap tahap adalah lebih baik dan tersusun dan mampu
menggambarkan perspektif umum setiap tahap tersebut. Menurutnya lagi untuk
memahami peringkat-peringkat ini adalah lebih baik untuk memahami ketiga-tiga
tahap terlebih dahulu.
Tahap prakonvensional, merupakan tahap bagi kebanyakan kanak-kanak
berusia kurang sembilan tahun, sedikit golongan remaja, dan banyak bagi
golongan dewasa dan remaja yang terlibat dengan jenayah. Tahap
konvensional pula merupakan tahap bagi kebanyakan remaja dan golongan
dewasa dalam masyarakat dunia. Manakala tahap pascakonvensional pula
paling kurang dicapai oleh dewasa dan selalunya dicapai oleh mereka yang telah
berusia lebih dua puluh tahun.
Kohlberg (1976) telah menyarankan agar ketiga-tiga tahap dilihat dalam
tiga bentuk yang berlainan iaitu dalam hubungannya antara diri, masyarakat dan
jangkaan, iaitu:
59
Tahap l: golongan prakonvensional, di mana undang-undang dan jangkaan
sosial adalah bersifat luaran pada diri seseorang.
Tahap ll: golongan konvensional, di mana diri mereka dikenal pasti menurut
peraturan dan jangkaan terhadap orang lain terutama pihak berkuasa.
Tahap lll: golongan pascakonvensional, golongan ini berupaya membezakan diri
daripada undang-undang dan jangkaan-jangkaan orang lain dan memberi
makna pada nilai-nilai dalam bentuk prinsip pilihan sendiri (self-chosen prinsipal).
Jadual 2.0 Enam Peringkat Perkembangan Moral Kohlberg ______________________________________________________________
Prakonvensional Peringkat 1. Orientasi Hukuman dan Kepatuhan (Might makes right) Peringkat 2. Orientasi Timbal balik (Scratch my back, I’ll scratch yours) ________________________________________________________________ Konvensional Peringkat 3. Orientasi Persetujuan Antara Individu (Good boy, nice girl approval) Peringkat 4. Orientasi Undang-undang dan Peraturan
(Fixed rules, right behavior consists in doing one’s duty)
________________________________________________________________ Pascakonvensional Peringkat 5. Orientasi Kontrak Sosial
(Standards critically examined and agreed upon by whole society)
Peringkat 6. Orientasi Prinsip Etika Sejagat (Universal justice, equality) ________________________________________________________________ Dipetik daripada Traviss, 1985.
Peringkat-peringkat perkembangan seperti di atas pada dasarnya tidak
menunjukkan kandungan sebenar yakni kepercayaan tertentu mahupun
60
pendapat dalam pertimbangan moral tetapi merujuk kepada struktur ataupun
bentuk (form) penaakulan yang mempamerkan corak pemikiran (Kohlberg, 1986,
Colby & Kohlberg, 1987). Dalam menentukan peringkat-peringkat dan orientasi
penaakulan moral, soalan-soalan berbentuk menyiasat akan diberikan bagi
mencungkil penaakulan moral pelajar-pelajar. Soalan-soalan berbentuk
penyiasatan ini pula dibahagikan kepada tiga jenis iaitu soalan berkaitan dengan
dilema. Soalan yang ditanya adalah untuk mendapatkan pertimbangan ‘ya’ atau
‘tidak’ dalam dilema, contoh soalan “Patutkah Heinz mencuri ubat tersebut?
Kedua, soalan berpusat kepada isu di mana soalan yang ditanya untuk
mencungkil penaakulan moral peserta kajian mengenai isu yang dipilih, contoh
soalan, “Adalah salah dari segi undang-undang bila Heinz mencuri, tetapi
adakah perlakuan itu salah dari segi moral? dan ketiga, soalan umum mengenai
nilai sesuatu isu yang dikemukakan. Soalan-soalan yang ditanya bertujuan
menentukan tindakan yang akan diambil apabila memberi respons kepada
dilema-dilema moral berbentuk hipotetikal serta dilema sebenar yang diimbas
oleh pelajar.
Berdasarkan kepada tindakan pilihan yang dipilih oleh pelajar maka
alasan ke atas tindakan perlu dijelaskan, dengan ini, pengkaji perlu mengenal
pasti penaakulan moral seseorang pelajar berdasarkan kepada alasan yang
diberikan terhadap pemilihan tindakan yang dilakukan. Banyak kajian telah
dijalankan bagi menentukan penaakulan moral seseorang individu berdasarkan
vignet dilema hipotetikal oleh Kohlberg dan disokong hampir selama 2 dekad
dengan kajian intensif secara longitudinal, cross sectional serta merentas