Sebab qisas gugur
Post on 19-Dec-2015
112 Views
Preview:
DESCRIPTION
Transcript
Sebab-Sebab Yang Menggugurkan Hukuman Qisas
WALAUPUN hakim mahkamah telah menjatuhkan hukuman qisas kepada penjenayah bunuh, tetapi hukuman tersebut boleh digugurkan dengan sebab-sebab berikut :
1. Kematian Pembunuh
2. Pengampunan
3. Pendamaian
4. Pewarisan Tuntutan Qisas (irth al-dam)
Kematian Pembunuh
Hukuman qisas akan gugur dengan sendirinya jika pembunuh yang telah disabitkan kesalahannya itu meninggal dunia. Lantaran orang yang sudah mati itu tidak perlu dikenakan hukuman mati lagi.
Setelah hukuman qisas itu digugurkan daripada penjenayah yang telah mati, timbul persoalan sama ada wajib atau tidak hukuman diyat diambil daripada harta pembunuh yang telah mati itu. Imam Abu Hanifah dan Imam Malik berpendapat bahawa dengan kematian pembunuh itu, gugurlah kedua-dua hukuman qisas dan diyat kerana hukuman yang telah ditetapkan kepada penjenayah bunuh hanya qisas sahaja. Oleh itu tidak boleh ditukakan dengan hukuman diyat. Tidak ada perbezaan sama ada kematian pembunuh itu disebabkan sakit atau dibunuh orang dan sama ada dibunuh dengan hak seperti dihukum bunuh atau dibunuh tanpa hak.
Imam Shafie dan Ahmad pula berpendapat bahawa dengan kematian pembunuh itu maka gugurlah hukuman qisas kepadanya. Akan tetapi diwajibkan diyat dari harta peninggalannya, kerana menurut pendapat mereka, hukuman yang wajib dalam kes bunuh ialah salah satu daripada hukuman qisas atau diyat. Jadi apabila hukuman qisas telah digugurkan kerana kematian penjenayah, maka diwajibkan hukuman yang satu lagi iaitu hukuman diyat sebagai gantinya.
Pengampunan
Semua fuqaha’ sependapat bahawa jika pembunuh itu dimaafkan oleh wali al-dam maka gugurlah hukuman qisas bunuh dari penjenayah tersebut, kerana hukuman qisas bukanlah suatu perkara yang wajib dituntuta oleh wali al-dam, malahan lebih baik bagi wali al-dam jika mereka mahu boleh memaafkan pejenayah
berkenaan. Ini berdasarkan kepada nas-nas al-Quran, al-Sunnah dan al-Ijma’.
Antaranya firman Allah Taala :
Maksudnya :
“Barangsiapa yang mendapat suatu kemaafan dari saudaranya hendaklah (yang memaafkan) mengikuti dengan cara yang baik, dan hendaklah (yang diberi maaf) membayar (diyat) kepada yang memberi maaf dengan cara yang baik pula. Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu dan suatu kerahmatan”
Firman –Nya lagi :
Maksudnya :
“Dan telah Kami tetapkan terhadap mereka di dalamnya (al-
Taurat) bahawasanya jiwa (dibalas) dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi, dan luka-luka hendaklah dibalas dengan seimbang. Barangsiapa yang melepaskan (hak qisas)nya, maka melepaskan hak jitu menjadi penebus dosa baginya”.
Firman-Nya lagi :
Maksudnya :
“Dan balasan suatu kejahatan adalah kejahatan yang serupa, maka barangsiapa memaafkan dan berbuat baik maka pahalanya atas (kehendak) Allah.”
Nas-nas al-Quran di atas diperkuatkan lagi dengan hadis Rasulullah s.a.w. antaranya :
a. Diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a. berkata :
Maksudnya :
“Aku tidak melihat Rasulullah s.a.w. apabila dikemukakan sesuatu yang mengenai qisas, melainkan dia menyuruh suapay diampunkan”.
b. Daripada Abu al-Darda dia berkata, aku mendengar Rasulullah bersabda :
Maksudnya :
“Mana-mana orang yang ditimpa sesuatu di badannya lalu dia bersedeqah dengannya, nescaya Allah meningkatkan darjatnya dan dihapuskan dosa daripadanya”.
Menurut Imam Syafie dan Hanbali apabila wali al-dam telah memaafkan penjenayah, ertinya dia telah menarik balik dari menuntut hukuman qisas atau diganti dengan hukumandiyat. Orang yang tidak mahu menuntut qisas kerana dia telah memaafkan dan orang yang meminta ditukar qisas kepada diyat juga kerana dia telah memaafkan. Oleh itu pertukaran hukuman daripada qisas kepada diyat tidak perlu persetujuan penjenayah.
Manakala Imam Malik dan Abu Hanifah berpendapat jika hukuman qisas diganti dengan hukuman diyat ianya tidak dianggap sebagai suatu pengampunan, tetapi dianggap sebagai sulh atau berdamai. Oleh sebab itulah jika tuntutan qisas itu ditukar kepada tuntutan diyat maka perlu kepada
persetujuan penjenayah untuk membayar diyat.
Untuk menjelaskan lagi kedudukan pengampunan elok juga dibincangkan perkara-perkara berikut :
1. Syarat-syarat pengampunan
2. Orang yang berhak mengampunkan
Syarat-syarat Pengampunan
Memberi maaf kepada penjenayah adalah diharuskan dengan apa juga bentuk yang memberi makna kemaafan. Sungguhpun demikian, kemaafan yang boleh menggugurkan hukuman qisas hendaklah mematuhi syarat-syarat berikut :
(a) Orang yang memberi maaf itu adalah orang yang baligh dan waras akal fikirannya. Ertinya jika dia masih kanan-kanak maka tidak boleh diterima kemaafannya. Begitu juga jika dia seorang yang gila tidak boleh diterima kemaafannya, berasaskan kepada sabda Rasulullah s.a.w. :
Maksudnya :
“Diangkat qalam daripada tiga orang; daripada orang yang tidur hingga dia terjaga; daripada kanak-kanak sehingga dia baligh dan daripada orang gila sehingga dia sembuh”.
(b) Orang yang memaafkan itu memberikannya dengan kerelaannya sendiri dan bukan kerana dipaksa, sama ada paksaan itu dibuat dengan cara mengugut, memukul atau merampas hartanya dan sebagainya, asalkan orang yang dipaksa itu tidak dapat melawannya.
Sabda Rasulullah s.a.w. :
Maksudnya :
“Sesungguhnya Allah melepaskan kepada umatku kerana tersalah, terlupa dan suatu yang dipaksakan ke atasnya.”
(c) Kemaafan itu diberi oleh orang yang mempunyai hak, ertinya jika ianya diberi oleh orang yang tidak berhak memaafkan maka tidak ada apa-apa kesan dari pengampunannya kerana memberi kemaafan ertinya menggugurkan haknya dan tidak ada siapa yang boleh menggugurkan haknya melainkan orang yang mempunyai hak. Orang yang berhak dalam kes kecederaan anggota tubuh badan
ialah orang yang dicederakan tubuh badannya. Tetapi orang yang berhak memaafkan dalam kes pembunuhan tidak disepakati oleh ulamak (yang akan dibincang kemudian).
(d) Pengampunan itu diberi oleh semua wali ad-dam. Oleh itu jika hanya sebahagian wali sahaja yang memaafkan penjenayah maka hukuman qisasi tidak boleh digugurkan daripadanya menurut pendapat Imam Malik. Akan tetapi mengikut pendapat majoriti ulamak pengampunan oleh salah seorang wali al-dam boleh menggugurkan qisas berdasarkan kepada riwayat yang mengatakan bahawa seorang pembunuh telah dibawa ke hadapan Sayyidina Umar. Kemudian anak-anak mangsa bunuh datang, sebahagiannya mengampunkan penjenayah tersebut. Lalu Umar bertanya pendapat Ibn Mas’ud, beliau menjawab, “pembunuh itu terlepas daripada hukuman bunuh”.
Ibn Mas’ud menerima pengampunan dari sebahagian anak
mangsa jenayah itu, boleh menggugurkan hukuman qisas tanpa mengambil kira pendapat waris-waris yang lain. Pendapat ini dikuatkan lagi dengan ayat 178 Surah al-Baqarah yang mana perkataan “ ” itu adalah umum sama ada bermakna sedikit atau banyak. Dan juga sabda Nabi s.a.w. maksudnya “Kepada keluarga mangsa bunuh hendaklah menahan daripada qisas jika salah seorang keluarganya memaafkannya maka kemaafan adalah diharuskan”. Selain dari itu kerana dengan pengampunan oleh setengah ahli waris itu boleh menimbulkan kesamaran dan ketidak-jelasan. Sedangkan syubhah atau kesamaran itu boleh melepaskan hukuman qisas.
Orang Yang Berhak Mengampunkan
Ulamak tidak sependapat mengenai orang yang berhak memberi pengampunan. Menurut Imam Abu
Hanifah, al-Shafie dan satu riwayat dari Imam Ahmad menyatakan bahawa orang yang berhak menuntut qisas itulah juga yang berhak mengampunkan iaitu semua waris, sama ada lelaki atau perempuan dan sama ada mereka menerima pusaka melalui pembahagian pusaka atau ‘asabah’. Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. :
Maksudnya :
“Barangsiapa yang (waris) baginya dibunuh maka ahlinya diberi pilihan antara dua”
Perkataan :ahl” yang disebutkan dalam hadis di atas adalah umum, sama ada lelaki atau perempuan. Begitu juga menurut satu riwayat bahawa ada seorang lelaki yang membunuh dengan sengaja, tetapi sebahagian wali kepada mangsa bunuh itu memaafkan penjenayah
tersebut. Apabila kes itu dikemukakan kepada Sayyidina Umar yang menjadi khalifah pada masa itu, diapun bertanya kepada Ibn Mas’ud.
Ibn Mas’ud menjawab :
Maksudnya :
“Jika sebahagian wali memaafkan penjenayah maka tidak wajib qisas ke atasnya”.
Sayyidina Umar menyetujui pendapat Ibn Mas’ud di atas. Dalam riwayat ini Ibn Mas’ud tidak membezakan antara setengah wali dengan wali yang lain. Oleh itu hak memberi ampun adalah semua wali waris.
Begitu menurut satu riwayat bahawa seorang pembunuh telah dibawa ke hadapan Umar r.a., tiba-tiba wali-wali
mangsa bunuh datang ke situ untuk membunuh si pembunuh. Lalu saudara perempuan kepada pembunuh yang juga isteri mangsa bunuh berkata, “aku ampunkan bahagianku dari (orang yang membunuh) suamiku”. ‘Umar r.a. telah menerima pengampunan dari isteri mangsa sebagai alasan yang menggugurkan hukuman qisas.
Selain dari itu jika tiap-tiap waris boleh memiliki hak pengampunan dari bahagian diyat dalam kes membunuh secara tersalah atau tidak sengaja, maka lebih baik lagi dalam kes membunuh dengan sengaja sepatutnya semua waris berhak memberi pengampunan kepada penjenayah.
Manakala menurut Imam Malik dari satu riwayat dari Imam Ahmad menyatakan bahawa hak pengampunan hanya diberi kepada ahli ‘asabah yang lelaki dan tidak kepada ahli‘asabah wanita’. Ini kerana pada pandangan mereka kaum wanita dalam banyak perkara tidak mempunyai
kekuasaan (wilayah) seperti dalam urusan perkahwinan dan kehakiman. Maka mereka juga tidak mempunyai kuasa pengampunan dalam masalah qisas. Selain dari itu hak menuntut qisas diberikan kepada wali ad-dam kerana mereka mempunyai daya pertolongan dan bantuan, sedangkan kaum wanita bukan dari jenis yang boleh memberi bantuan dan pertolongan. Oleh itu maka munasabahkah kaum wanita tidak ada hak untuk mengampunkan penjenayah.
Setelah menelita pendapat-pendapat di atas, maka pendapat kebanyakkan ulamak adalah lebih munasabah kerana alasan-alasan yang diberikan lebih kuat. Lebih-lebih lagi kerana tidak ada dalil yang kuat yang mengecualikan sebahagian ahli waris dari memiliki hak pengampunan. Malahan banyak ayat-ayat al-Quran yang menyarankan supaya memberi kemaafan kepada penjenayah.
Masa Pengampunan
Wali al-dam boleh mengampunkan penjenayah itu sama ada sebelum atau sesudah matinya mangsa jenayah. Jika wali al-dam itu mengampunkan penjenayah selepas matinya mangsa berkenaan, maka gugurlah hukuma qisas dari pada penjenayah itu, sama ada pengampunan itu diberikan secara umum ataupun pengampunan itu bermaksud dimaafkan dari hukuman qisas tetapi diganti dengan hukuman diyat, dan sama ada penjenayah itu bersetuju atau tidak dengan bayaran diyat. Ini adalah pendapat kebanyakkan ulamak . Kecuali Imam Malik yang berpendapat bahawa hak tuntutan qisas tidak gugur kecuali jika penjenayah itu sendiri bersetuju membayar diyat jika pengampunan daripada hukuman qisas itu ditukar dengan bayaran diyat.
Perselisihan ulamak itu adalah berpunca dari pandangan mereka mengenai hukuman qisas yang telah diampunkan kepada penjenayah itu
sama ada secara atomatis boleh diganti dengan hukuman diyat tanpa persetujuan dan kerelaan penjenayah atau tidak boleh diganti dengan diyat kecuali dengan persetujuan penjenayah, seperti yang telah dibincangkan sebelum ini.
Sebaliknya jika pengampunan wali itu diberikan kepada penjenayah, sebelum mangsanya meninggal dunia, walaupun dalam keadaan luka parah, maka menurut Imam al-Shafie , dan Zahari pengampunan seperti ini tidak sah dan tidak memberi kesan untuk membebaskan dari hukuman qisas kerana wali al-am itu mengampunkan kepada orang yang belum diwajibkan kepada penjenayah selepas mati mangsanya. Begitu juga menggugurkan dari hukuman bunuh memerlukan kepada adanya pembunuhan, sedangkan kematian belum berlaku lagi. Jadi, oleh kerana belum sampai masanya untuk memberikan kemaafan, maka kemaafan seperti itu tidak sah.
Setengah ulamak pula berpendapat bahawa pengampunan yang diberikan
kepada penjenayah itu selepas mangsa itu luka parah, tetapi sebelum ia mati, adalah sah kerana luka yang parah itu menunjukkan akan berlaku kematian. Oleh itu pengampunan yang dibuat pada masa itu adalah sah kerana walaupun tidak berlaku lagi kematian pada masa itu, tetapi telah wujud sebab-sebabnya iaitu luka yang boleh membawa maut. Oleh itu maka pengampunan yang diberikan kepada penjenayah selepas mangsa luka parah yang mungkin boleh membawa maut adalah sah dan mempunyai kesan dalam menggugurkan hukuman qisas.
Pengampunan Dari Pemerintah
Apa yang dibincangkan di atas ialah mengenai pengampunan kepada penjenayah dari waris mangsa bunuh yang mempunyai wali atau waris. Bagi mangsa bunuh yang tidak mempunyai wali lagi maka siapakah yang berhak menuntut haknya kepada penjenayah.
Semua ulamak sependapat bahawa jika mangsa bunuh itu tidak mempunyai waris yang menuntut qisas maka sultan atau pemerintah yang menjadi walinya dan berhak menuntut hukuman qisas berdasarkan kepada sabda Nabi s.a.w. :
Maksudnya :
“Sultan menjadi wali bagi orang yang tidak ada wali”.
Ini kerana kuasa pemerintah adalah menyeluruh termasuk perkara yang berkaitan dnegan qisas sebagai kekuasaan yang khas. Oleh itu jika mangsa pembunuhan itu tidak diketahui ibu bapanya dan kaum kerabatnya maka pemerintah (wali al-amr) yang berhak untuk menuntut hukuman qisas terhadap pembunuhnya.
Ada sedikit perselisihan pendapat ulamak mengenai kuasa pengampunan sultan atau wali al-amr terhadap qisas atau diyat. Ulamak mazhab Hanafi , Shafie dan Hanbali berpendapat bahawa terpulang kepada wali al-amr sama ada hendak mengampunkan daripada qisas ataupun mengampunkan hukuman qisas dengan diganti kepada hukuman diyat. Manakala ulamak mazhab Maliki dan setengah mazhab Hanbali berpendapat bahawa sultan hanya berhak untuk mengampunkan hukuman qisas dan tidak berhak untuk mengampunkan yang lain daripadanya sama ada hukuman berupa harta atau bukan, kerana jika sultan diberi kuasa untuk mengampunkan apa juga hukuman maka ini akan memberi
galakan untuk membunuh orang yang tidak ada waris dan hal ini adalah bertentangan dengan tujuan disyariatkan qisas.
Ada juga pendapat yang menyatakan bahawa sultan itu diberi hak mengampunkan seperti mana hak yang dipunyai oleh wali, iaitu dia boleh mengampunkan kepada penjenayah daripada apa juga hukuman, sama ada qisas, diyat atau lain-lain hukuman.
Walau bagaimanapun pendapat kebanyakkan ulamak adalah yang paling tepat kerana sultan dalam kes qisas adalah mengambil tempat wali al-dam. Mengikut kebiasaanya sesiapa yang menggantikan tempat seseorang maka dia berhak seperti mana hak orang yang digantikannya. Cuma sultan tidak berhak untuk mengampunkan semua hukuman; kerana jika demikian akan menghapuskan kepentingan umat Muslimin. Hal ini berbeza dengan kedudukan wali al-dam yang boleh mengampun apa juga hukuman kerana adanya kebaikan
dari pengampunan itu iaitu untuk mengharapkan balasan pahala di akhirat.
Perdamaian (Sulh)
Semua ulamak sependapat bahawa perdamaian (sulh) yang dibuat antara wali al-dam dengan penjenayah adalah dibenarkan dalam Islam.
Persetujuan yang dicapai antara kedua belah pihak untuk menukarkan hukuman qisas dengan hukuman diyat sama ada dengan kadar yang lebih tinggi atau yang serupa atau yang lebih rendah adalah sah dan diterima. Dengan perdamaian dan persetujuan kedua-dua belah pihak maka hukuman qisas boleh digugurkan daripada penjenayah berdasarkan kepada al-Sunnah dan Ijma’.
Rasulullah s.a.w. :
Maksudnya :
“Barangsiapa yang membunuh secara sengaja hendaklah diserahkan kepada wali-wali mangsa jenayah bunuh, jika mereka mahu mereka bolehlah menuntut hukuman bunuh dan jika mereka mahu mereka boleh mengambil diyat iaitu 30 ekor huqqah, 30 ekoar jaza’ah dan 40 ekor hifah dan apa-apa dipersetujui oleh mereka adalah untuk mereka”.
Selain dari itu oleh kerana qisas adalah hak bagi waris mangsa jenayah, maka sesiapa sahaja yang mempunyai hak boleh menguruskan haknya mengikut kehendaknya, seperti mana wali mempunyak hak untuk menggugurkan hukuman qisas tanpa diganti dengan hukuman lain seperti dalam kes pengampunan. Maka begitulah juga wali berhak untuk menggugurkan hukuman qisas tetapi menuntut ganti
hukuman diyat . Begitu juga oleh kerana tujuan disyariatkan qisas ialah untuk menjaga dan melindungi nyawa orang ramai daripada ancaman dan permusuhan. Jadi dengan adanya perdamaian antara penjenayah dengan wali mangsa jenayah akan mententeramkan keadaan dan akan menghapuskan perasaan balas dendam. Lebih-lebih lagi kerana perdamaian tidak boleh dicapai melainkan dengan persetujuan kedua-dua belah pihak.
Perbezaan Antara Pengampunan Dan Perdamaian
Pengampunan dalam konteks hukuman qisas bererti menggugurkan tuntutan qisas tanpa menuntut hukuman ganti. Manakala berdamai pula ertinya persetujuan untuk menggugurkan hukuman yang asal dengan hukuman lain sebagai ganti. Oleh itu menurut Imam Malik dan Abu Hanifah bahawa pengampunan daripada hukuman qisas kepada hukuman diyat dikira sebagai persetujuan
damai (sulh) dan bukan sebagai pengampunan. Justeru menurut kedua-dua mazhab di atas bahawa hukuman yang telah ditetapkan kerana kesalahan membunuh dengan sengaja ialah qisas, sedangkan diyat tidak dibolehkan kecuali dengan persetujuan penjenayah. Oleh itu bertukarnya daripada hukuman qisas kepada diyat perlu kepada persetujuan penjenayah.
Manakala Imam Shafie dan Ahmad berpendapat bahawa pengampunan daripada hukuman qisas kepada hukuman diyat tetap sebagai pengampunan dan bukannya sebagai sulh (berdamai), kerana hukuman yang telah ditetapkan kepada pesalah bunuh dengan sengaja menurut mazhab ini ialah salah satu daripada dua hukuman, sama ada hukuman qisas ataudiyat.
Oleh itu terpulanglah kepada wali untuk memilih mana-mana satu antara dua hukuman di atas tanpa persetujuan penjenayah berkenaan.
Orang Yang Berhak Untuk Berdamai
Orang jyang berhak untuk menuntut qisas dan yang berhak memberi kemaafan itulah juga orang yang berhak untuk berdamai (sulh). Oleh itu hukum-hukum mengenai perdamaian (sulh) mengikut pendapat ulamak adalah sama seperti hukum-hukum mengenai hak qisas dan pengampunan, seperti yang telah dibincangkan sebelum ini.
Hukuman qisas boleh digugurkan dengan adanya persetujuan semua wali ataupun dengan persetujuan sebahagian mereka, kerana qisas adalah menjadi hak setiap wali al-dam . Oleh itu mereka semua berhak untuk berdamai seperti mana kedudukan perkara-perkara yang dimiliki bersama. Begitu juga jika salah seorang daripada wali-wali itu menggugurkan tunttuan qisas maka akan gugur juga
tuntutan orang lain kerana hukuman qisas tidak boleh dibahagikan. Oleh itu wali yang tidak berdamai untuk melepaskan hukuman qisas boleh menuntut hukuman diyat untuk bahagiannya, disebabkan mereka tidak dapat melaksanakan hukuman qisas kerana perdamaian dan persetujuan sebahagian dari wali. Oleh yang demikian maka berpindahlah hak orang yang tidak mahu berdamai kepada hukuman diyat.
Syarat-syarat Sulh (Berdamai)
Ulamak menggariskan beberapa syarat bagi menentukan suatu sulh atau perdamaian itu sah, antaranya :
(i) Hukuman ganti yang dipersetujui itu hendaklah suatuyang dihalalkan dalam Islam. Oleh itu sekiranya perkara yang menjadi ganti kepada hukuman qisas itu diharamkan seperti
arak, judi, berzina, maka perdamaian dengan cara yang diharamkan itu tidak sah. Timbul persoalan sama ada perdamaian seperti ini boleh menggugurkan hukuman qisas atau tidak ?
Menurut Mazhab Shafie dan Hanbali berdamai dengan cara seperti ini tetap menggugurkan hukuman qisas, tetapi hendaklah ditukar dengan hukuman diyat. Manakala mazhab Hanafi pula berpendapat bahawa berdamai dengan cara ini boleh menggugurkan qisas dengan tidak payah diganti diyat, sedangkan mazhab Maliki pula berpendapat bahawa berdamai dengan menggunakan cara yang haram tidak melepaskan hukuman qisas kerana seolah-olah tidak berlaku perdamaian.
(ii) Barang yang dipersetujui sebagai ganti kepada hukuman qisas hendaklah diketahui oleh kedua-dua belah pihak.
(iii) Perjanjian damai itu hendaklah tidak mengandungi perkara-perkara untuk menghalalkan benda yang haram atau mengharamkan suatu yang halal, sebagaimana hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud, “Berdamai itu diharuskan antara sesama Muslimin, kecuali persetujuan untuk menghalalkan perkara yang diharamkan ataupun mengharamkan suatu yang dihalalkan”.
(iv) Orang yang berdamai itu hendaklah terdiri dari orang yang berwibawa dan mampu menjalankan tugasnya dengan baik seperti orang dewasa, waras akalnya dan bertindak dengan kehendaknya sendiri, bukan paksaan.
Pembunuh itu sendiri mewarisi hak menuntut qisas (irth al-dam)
Satu lagi sebab yang boleh menggugurkan hukuman qisas ialah jika pembunuh itu sendiri yang berhak menuntut hukuman qisas. Sepertimana telah dinyatakan sebelum ini bahawa hukuman qisas bunuh wajib dijatuhkan ke atas pembunuh jika ada tuntutan dari waris mangsa jenayah yang berhak. Ertinya jika tidak ada tuntutan dari waris mangsa jenayah itu, maka gugurlah hukuman qisas.
Begitu juga jika orang yang berhak menuntut hukuman qisas itu adalah penjenayah itu sendiri, maka gugurlah hukuman qisas bunuh. Sebagai contoh, katakanlah seorang lelaki bernama Zaid, tidak mempunyai waris kecuali dua orang anak lelaki yang seorang bernama Baha dan yang seorang bernama Zaki. Tiba-tiba si anak yang bernama Baha membunuh bapanya sendiri, selepas itu pula didapati si Zaki telah meninggal dunia. Sedangkan sepatutnya oleh kerana Zaki tidak membunuh bapanya, maka dialah yang berhak menuntut qisas kepada Baha. Akan tetapi apabila Zaki telah meninggal dunia lebih dahulu, maka hak tuntutan qisas itu berpindah kepada Baha, iaitu anak yang membunuh bapanya sendiri. Oleh itu
andainya hukuman qisas itu diwajibkan kepada orang yang berhak menuntut qisasi, seolah-olah dia menuntut supaya hukuman qisas dijalankan ke atas dirinya sendiri, hal seperti ini tidak dapat dibayangkan boleh berlaku. Oleh itu maka gugurlah hukuman qisas jika pembunuhnya itu sendiri adalah waris orang yang mewarisi hak qisas.
Satu lagi contoh umpamanya seorang yang bernama Haris membunuh emak mertuanya (emak kepada isteri). Kemudian isterinya yang sepatutnya berhak menuntut qisas kepada suaminya kerana membunuh emak mertua telah meninggal dunia sebelum dijalankan hukuman qisas, maka berpindahlah hak tuntutan qisas itu kepada suaminya (pembunuh emak isterinya) sendiri. Oleh itu maka gugurlah hukuman qisas kepada pembunuh berkenaan kerana kalaulah diwajibkan qisas kepadanya maka seolah-olah diwajibkan qisas kepada diri orang yang berhak menuntut qisas sedangkan keadaan seperti ini tidak mungkin boleh berlaku.
Begitu juga hukuman qisas boleh digugurkan jika yang menuntut hukuman tersebut tidak mempunyai hak untuk menuntut hukuman qisas ke atas pembunuhnya seperti seorang anak yang menuntut hukuman qisas ke atas bapanya sendiri; sedangkan seorang bapa yang membunuh anaknya sendiri tidak boleh dihukum qisas mengikut pendapat kebanyakan ulamak. Contohnya seperti seorang suami membunuh isterinya. Kedua-duanya mempunyai seorang anak lelaki yang sepatutnya berhak menuntut qisas ke atas orang yang membunuh emaknya. Tetapi oleh kerana yang membunuh emaknya itu adalah bapanya sendiri, maka anak itu tidak mempunyai hak untuk menuntut qisas terhadap bapanya sendiri. Oleh itu maka gugurlah hukum qisas daripada pembunuh kerana orang yang menuntut hukuman qisas itu tidak mempunyai hak untuk menuntutnya. Ini adalah kerana jika bapa membunuh anaknya tidak diwajibkan hukuman qisas mengikut kebanyakkan ulamak, maka lebih-lebih lagi jika anaknya sendiri yang menuntut hukuman qisas ke atas bapanya sudah tentu digugurkan hukuman qisas daripadanya.
Wallahu a’lam.
top related