Memperkasa Komuniti Melalui Pembelajaran Sepanjang Hayat ... · yang lebih optima dengan menawarkan sekurang-kurangnya dua (2) program sepenuh masa dan melatih sekurang-kurangnya
Post on 19-Sep-2019
11 Views
Preview:
Transcript
Memperkasa Komuniti Melalui Pembelajaran Sepanjang Hayat
di Kolej Komuniti
Rasmuna binti Hussain1
,
Ahmad Khairulnizam bin Zulkifli2
Razzian binti Mat Razali3
Bahagian Dasar Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti
ABSTRAK
Pembelajaran sepanjang hayat merupakan satu bidang tujahan utama di kolej komuniti sejak
diberikan mandat sebagai Hab Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) pada tahun 2004. PSH
di kolej komuniti menekankan aspek keterlihatan (visibility) dan keterangkuman
(inclusiveness) pelbagai kelompok komuniti, agar tiada kelompok komuniti yang terpinggir
(no community is marginalised). PSH juga telah dijadikan sebagai teras utama dalam Pelan
Pemerkasaan Kolej Komuniti 2013-2015. Pelan Pemerkasaan Kolej Komuniti 2013-2015
adalah dokumen strategik yang menggariskan enam teras dalam memperkukuh peranannya
sebagai peneraju penyedia Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan hab
PSH di Malaysia. Sejak penubuhan kolej komuniti pada tahun 2001, 2.04 juta komuniti telah
berjaya dilatih melalui PSH di kolej komuniti. Pelaksanaan PSH ini dipantau melalui sistem
Community College Report Card (CCRC). 15 peratus peserta PSH adalah dalam kalangan
kumpulan sasar iaitu miskin tegar, warga emas/pesara, orang kelainan upaya (OKU), ibu
tunggal, orang asli dan belia (yang tiada pendapatan tetap). Pencapaian peserta PSH dalam
kumpulan sasar tersebut telah dibincangkan bagi memperkukuh peranan kolej komuniti yang
signifikan ini. PSH adalah inisiatif yang wajar diteruskan sebagai kesinambungan kepada
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) agar setiap lapisan
masyarakat dapat meningkatkan kemahiran, ekonomi dan taraf hidup ke arah negara
berpendapatan tinggi.
Kata kunci: pembelajaran sepanjang hayat, kolej komuniti, CCRC, kumpulan sasar
+
Corresponding author. Tel.:+(0166344969); fax:+(0388884899)
E-mail address: (rasmuna@mohe.gov.my)
1. PENGENALAN
Malaysia dalam usaha melaksanakan Model Baharu Ekonomi dan meneruskan agenda
RMKe-10 yang amat memerlukan tenaga kerja yang berilmu dan berkemahiran tinggi bagi
menjana ekonomi ke arah negara berpendapatan tinggi. Di bawah RMKe-10, kerajaan
telah menetapkan bahawa pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional
diarusperdanakan bagi merealisasikan hasrat ini. PSH di kolej komuniti adalah bertujuan
untuk memenuhi potensi dan permintaan terhadap program atau kursus peningkatan
kemahiran dan pengetahuan dalam kalangan komuniti yang dapat menyumbang kepada
nilai serta pembangunan ekonomi negara (KPT, 2011a).
Program PSH kolej komuniti adalah selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) yang menekankan kepada 10 lonjakan utama di
mana Lonjakan 3: Menghayati Pembelajaran Sepanjang Hayat adalah merupakan
lonjakan yang melibatkan peranan kolej komuniti secara langsung. Pembelajaran
sepanjang hayat adalah penting untuk membangunkan masyarakat berilmu dan inklusif
(KPT, 2015). Kolej komuniti memainkan peranan besar sebagai hab pembelajaran
sepanjang hayat dalam meningkatkan pengetahuan dan kemahiran serta meluaskan akses
pembelajaran sepanjang hayat yang berkualiti kepada masyarakat.
Agenda ini diberi penekanan lanjut dalam RMKe-11 khususnya dalam Bab 3 iaitu
Memperkukuh Inklusiviti Ke Arah Masyarakat Yang Saksama. Di bawah Bidang Fokus B
pula, strategi utama ialah mengenal pasti keperluan bagi Memperkasa Komuniti Untuk
Membina Masyarakat Yang Produktif Dan Sejahtera. Strategi ini sudah pasti menuntut
penglibatan aktif dan libatsama oleh kolej komuniti. Peranan kolej komuniti lebih
mencabar dalam memberi inklusiviti kepada warga emas dan memperkasa orang kurang
upaya. Program University of the Third Age (U3A) merupakan salah satu program bagi
menambah baik persekitaran kehidupan warga emas. Ia akan memberi peluang kepada
mereka memperoleh pengetahuan serta kemahiran khususnya di kolej komuniti dan Pusat
Aktiviti Warga Emas (PAWE). Inisiatif seperti ini akan menggalakkan penuaan aktif
dalam kalangan warga emas seperti mana yang dituntut dalam RMKe-11. Dokumen ini
menggariskan beberapa strategi lain seperti meningkatkan pendapatan dan kekayaan isi
rumah B40 dengan membesarkan saiz masyarakat kelas menengah, mengurangkan kadar
keciciran, memastikan akses kepada pendidikan tinggi dan latihan kemahiran (UPE,
2015). Lantaran itu, budaya pembelajaran sepanjang hayat di kolej komuniti dapat
menggerakkan beberapa inisiatif ke arah membentuk masyarakat yang produktif dan
sejahtera dengan pengetahuan serta kemahiran.
2. LATAR BELAKANG
Kolej komuniti ditubuhkan melalui Memorandum No. 398/2225/00 yang
dikemukakan oleh Menteri Pendidikan kepada Jemaah Menteri pada 5 Julai 2000 dan
mulai beroperasi dengan 12 buah kolej komuniti rintis pada tahun 2001. Kabinet telah
bersetuju menjadikan kolej komuniti sebagai Hab Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH)
pada tahun 2004 (JPKK 2012). Sejak itu, kolej komuniti telah berkembang pesat dan
sehingga kini terdapat 93 buah kolej komuniti di seluruh negara.
Kolej komuniti melaksanakan PSH sebagai core business berdasarkan beberapa
konsep dan konteks berikut:
i. Home schooling yang berkonsep tidak formal dan dijalankan di rumah.
ii. Pendidikan dewasa yang berkonsep formal untuk mendapatkan sijil kemahiran
yang diperlukan untuk memulakan kerjaya mahupun memulakan perniagaan.
iii. Pendidikan lanjutan yang berkonsepkan formal dan dijalankan di institusi
pendidikan tinggi.
iv. Latihan dalam perkhidmatan (on-job training) yang berkonsep formal atau
tidak formal untuk meningkatkan profesionalisme dan kemahiran melalui
bengkel atau kursus yang dianjurkan oleh organisasi.
v. Pembelajaran maya yang berkonsep formal dan tidak formal berasaskan
pembelajaran kendiri menggunakan alat multimedia dan sumber dalam talian.
(JPP,
2013)
Konsep PSH di kolej komuniti ini telah diilustrasikan dalam Rajah 1 di bawah :
Rajah 1 : Konsep Pendidikan Sepanjang Hayat di Kolej Komuniti
Sumber: Laporan Kajian Peranan Kolej Komuniti KPM
Kepada Masyarakat Setempat. (JPP, 2013)
Pelan Pemerkasaan Kolej Komuniti 2013-2015 telah dilancarkan pada 12 Mac 2013
oleh YB Menteri Pengajian Tinggi di Kuching, Sarawak. Pelan ini mengandungi enam (6)
teras strategik di mana salah satu daripada teras utamanya ialah Memperkasa
Pembelajaran Sepanjang Hayat. Teras ini adalah selari dengan teras Pembudayaan
Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara
(PSPTN) yang menggariskan empat (4) strategi. Strategi ini antara lain bertujuan
mengarusperdanakan PSH iaitu: 1) meningkatkan mekanisme dan infrastrutur PSH; 2)
memperkemaskan kerangka pengiktirafan PSH; 3) mempertingkatkan usaha promosi
dalam menggalakkkan penyertaan dalam PSH; 4) menyediakan pembiayaan secukupnya
untuk menyokong program-program pembudayaan PSH (KPT, 2011b).
Pelaksanaan pelan tersebut telah menuntut kolej komuniti untuk memainkan peranan
yang lebih optima dengan menawarkan sekurang-kurangnya dua (2) program sepenuh
masa dan melatih sekurang-kurangnya 1500 hingga 5000 peserta kursus pendek setahun di
bawah program PSH. Program sepenuh masa dan PSH ini meningkatkan peluang
melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dalam kalangan komuniti. Di
samping itu, program ini membantu membangunkan potensi diri kumpulan sasar komuniti
setempat seperti golongan miskin tegar, orang asli, OKU, ibu tunggal, belia (tiada
pendapatan tetap), dan warga emas/pesara.
Kolej komuniti juga diberikan amanah besar untuk meneruskan pelaksanaan PSH
menerusi Pendidikan Islam Sepanjang Hayat (PISH) yang telah dilancarkan pada 5 April
2014 oleh YAB Timbalan Perdana Menteri. Selaras dengan amanah yang diberikan, kolej
komuniti dilantik sebagai Sekretariat Pendidikan Islam Sepanjang Hayat (PISH) di
peringkat nasional. PISH menumpukan pendidikan yang berterusan dalam bidang
kemahiran teknikal kepada pelajar maahad atau tahfiz dalam mengimbangkan ilmu
duniawi dan ukhrawi. Sehingga kini, lebih daripada 610 program PISH dengan penyertaan
lebih daripada 20 ribu peserta telah dilaksanakan dalam pelbagai bidang dengan jayanya.
Kolej komuniti berperanan untuk merapatkan rakyat dengan kerajaan melalui
pelbagai program TVET dan PSH yang terkini melalui pelbagai program khidmat
masyarakat (CSR), jaringan, kolaborasi dan perkongsian pintar dengan pelbagai agensi
dan industri. Selain itu, kolej komuniti turut menyahut seruan kerajaan dengan
melaksanakan National Blue Ocean Strategy (NBOS) dengan menekankan prinsip impak
tinggi, kos rendah, pelaksanaan pantas dan mampan. Sehubungan itu, kolej komuniti
melaksanakan pelbagai High Impact Programme contohnya program Basmi Kemiskinan
Bandar dan Rumah Komuniti yang menyumbang ke arah peningkatan taraf sosio-ekonomi
komuniti setempat. Sehingga ke hari ini, PSH telah memberi impak kepada 2.04 juta
komuniti dalam pelbagai kursus dan kemahiran untuk melahirkan usahawan kecil,
sederhana malahan jutawan. Jadual 1 menunjukkan taburan penyertaan PSH di kolej
komuniti dari tahun 2002 hingga kini.
Jadual 1: Penyertaan peserta PSH mengikut tahun.
Tahun Bilangan Peserta
2002 1,771
2003 8,216
2004 23,907
2005 46,512
2006 71,684
2007 102,445
2008 106,814
2009 121,003
2010 123,061
2011 219,183
2012 206,562
2013 277,083
2014 314,828
2015 279,760
2016 (sehingga Jun) 137,002
JUMLAH 2,039,831
Pelbagai program PSH di kolej komuniti juga telah menyumbang kepada
pengurangan jurang tenaga kerja mahir yang dihadapi oleh industri melalui program
peningkatan kemahiran dan latihan semula (upskilling and reskilling). Program ini
bercirikan customised programme iaitu direka agar lebih fleksibel untuk pekerja industri.
Kolej komuniti telah muncul sebagai salah satu daripada pembekal utama tenaga kerja
terlatih dan berpengetahuan untuk memenuhi keperluan negara, kepentingan tempatan dan
industri. Program yang ditawarkan di kolej komuniti bertujuan menyediakan belia dengan
kemahiran yang sesuai yang akan memberi kuasa kepada mereka ke dalam dunia
pekerjaan. Taburan trend penyertaan dalam program PSH boleh dirujuk dalam Jadual 2 di
bawah. Justeru, program pembelajaran sepanjang hayat di kolej komuniti merupakan satu
pendekatan yang mampu memberi nilai tambah kepada masyarakat pekerja yang menjadi
penyumbang kritikal kepada produktiviti dan pembangunan negara.
Jadual 2: Bilangan kursus PSH mengikut tahun.
Tahun Bilangan Kursus
2002 79
2003 316
2004 867
2005 1,324
2006 2,436
2007 3,778
2008 4,321
2009 5,400
2010 6,339
2011 11,076
2012 10,013
2013 7,717
2014 14,287
2015 13,231
2016 (sehingga Jun) 7,054
JUMLAH 88,238
3. METODOLOGI
Bahagian Dasar (BDS), JPKK telah melaksanakan transformasi dalam Pelan
Tindakan Pemerkasaan Kolej Komuniti 2013 – 2005 dengan memperkenalkan
pelaksanaan Community College Report Card (CCRC) untuk digunapakai oleh kolej
komuniti seluruh negara. Dalam CCRC telah digariskan 6 Teras Utama yang terkandung
di dalam pelan tersebut sebagai strategi pelaksanaannya yang merangkumi 22 Petunjuk
Prestasi Utama (KPI) wajib serta 4 KPI pilihan bagi setiap KK Rintis, KK Pelapis 1 dan
KK Pelapis 2, serta 8 KPI bagi KK Tunas. Salah satu daripada objektif strategik di dalam
Teras 1 : Memperkasa Pembelajaran Sepanjang Hayat ialah Memantapkan Pelaksanaan
PSH. Melalui objektif ini, KPI yang ditetapkan kepada kolej komunti ialah bilangan
peserta kursus pendek daripada kumpulan sasaran mesti mencapai 15 peratus daripada
jumlah keseluruhan peserta kursus pendek pada setiap tahun. Kumpulan sasar yang telah
ditetapkan adalah dalam kalangan golongan miskin tegar, warga emas/pesara, orang
kelainan upaya (OKU), ibu tunggal, orang asli dan belia (yang tiada pendapatan tetap).
Pemantauan terhadap pelaksanaan program atau aktiviti PSH di kolej komuniti adalah
merupakan salah satu prosedur penting bagi memastikan keberkesanan serta keberhasilan
sistem penyampaian program ini. Pemantauan dan penilaian dijalankan secara berkala
sepanjang tahun dan laporan pencapaian disediakan dua kali setahun iaitu bagi tempoh
Januari hingga Jun dan Julai hingga Disember setiap tahun.
Pengumpulan data penyertaan oleh kumpulan sasar tersebut dalam program dan
kursus PSH di kolej komuniti diambil dari tahun 2013 sehingga 2015. Bagi melancarkan
proses pengumpulan data ini, Pegawai Penyelaras CCRC dilantik di setiap kolej komuniti.
Pegawai ini berperanan untuk merekod dan mengemaskini data penyertaan secara berkala
berdasarkan tarikh yang telah ditetapkan oleh JPKK. Pegawai ini juga bertanggungjawab
memastikan data yang diisi adalah sah dan tepat pada masa program PSH tersebut
dilaksanakan di kolej komuniti masing-masing.
Data asal yang telah diperolehi daripada setiap kolej komuniti ditentusahkan dengan
melaksanakan audit silang dengan data di dalam sistem e-PSH yang telah digunapakai
oleh semua kolej komuniti. Sistem e-PSH ini pula adalah di bawah pemantauan serta
penyeliaan Unit PSH di JPKK. Data pencapaian keseluruhan KPI yang diperoleh melalui
sistem CCRC tersebut dieksport ke dalam perisian Microsoft Excel untuk dianalisa secara
terperinci. Proses ini penting untuk mendapatkan bilangan penyertaan berdasarkan
kategori kumpulan sasar tersebut. Data dianalisa secara deskritif untuk mendapatkan
kekerapan dan peratusan.
4. PERBINCANGAN DAN CADANGAN
Berdasarkan analisis yang dijalankan terhadap data yang dikumpul pada tahun 2013
hingga 2015, keputusan diperolehi dengan merujuk kepada Rajah 2 di bawah. Penerangan
dan huraian pula adalah seperti berikut :
4.1 Miskin tegar
Analisis data daripada eCCRC menunjukkan bahawa 39.8 peratus (145,108 peserta)
kumpulan sasar adalah dalam kalangan miskin tegar. Ini merupakan peratus
pencapaian kedua tertinggi daripada 6 kumpulan sasar. Secara purata 95 peratus
kolej komuniti telah mencapai sasaran bagi KPI ini. Ini jelas menunjukkan bahawa
program yang telah dilaksanakan menerima sambutan yang menggalakkan dan
menepati objektif untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi komuniti terutamanya
kumpulan miskin tegar ini.
4.2 Warga emas / pesara
Berdasarkan eCCRC, data yang dianalisis menunjukkan bahawa 5.6 peratus (20,402
peserta) kumpulan sasar adalah terdiri daripada golongan warga emas / pesara.
Pencapaian kumpulan sasar ini adalah yang ketiga tertinggi, dengan 89.2 peratus
kolej komuniti mencapai KPI yang ditetapkan. Data ini memberi petunjuk bahawa
kumpulan ini masih berminat secara aktif menimba pengetahuan dan kemahiran agar
dapat dimanfaatkan sebagai sumber pendapatan selain mengeratkan hubungan
sesama komuniti serta memenuhi keperluan kendiri. Ini adalah bertepatan dengan
penganugerahan JPKK sebagai IPT Prihatin Warga Emas 2012 oleh Kementerian
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di atas sumbangan dan penglibatan
dalam menjayakan program PSH (Berita Harian, 18 Oktober 2012). Selain itu
Program PSH untuk kumpulan ini telah dilaksanakan dengan jayanya melalui
kerjasama Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE).
4.3 OKU
Analisis data daripada eCCRC menunjukkan bahawa 2.7 peratus (9,865 peserta)
kumpulan sasar yang terlibat adalah terdiri daripada kumpulan OKU dengan 80
peratus kolej komuniti mencapai KPI ini. Pencapaian ini seiring dengan penglibatan
enam kolej komuniti yang menawarkan program sepenuh masa khusus untuk
kumpulan OKU.
4.4 Ibu tunggal
Berdasarkan analisis data daripada eCCRC, kumpulan ibu tunggal menyumbang
kepada 4.8 peratus (17,560 peserta) penglibatan dalam program PSH sepanjang 2013
hingga 2015. Secara purata 84.6 peratus kolej komuniti mencapai KPI ini. Impak
penyertaan dalam kalangan kumpulan sasar ini amat besar kerana mereka adalah
komuniti yang memerlukan pelbagai kemahiran untuk membina kemandirian dalam
meneruskan kelangsungan hidup keluarga.
4.5 Orang asli
Data yang dianalisis daripada eCCRC menunjukkan pencapaian yang
memberangsangkan iaitu 2.7 peratus (9,759 peserta) dengan 92.9 peratus kolej
komuniti mencapai KPI ini secara purata. Ini memberi konatasi bahawa kolej
komuniti telah berjaya mendekati kumpulan sasar tersebut dengan membuka ruang
dan peluang bagi mereka mendapatkan pelbagai kemahiran melalui program-
program PSH. Ini selari dengan peranan kolej komuniti yang berkonsepkan
keterangkuman (inclusiveness) pelbagai kelompok komuniti, agar tiada kelompok komuniti
yang terpinggir (no community is marginalised).
4.6 Belia (tiada pendapatan tetap)
Penyertaan kumpulan sasar ini menunjukkan peratusan yang paling tinggi iaitu 44.4
peratus (161,693 peserta) kerana mereka merupakan golongan yang lebih terdedah
kepada peluang memperoleh kemahiran-kemahiran teknikal di kolej komuniti.
Secara purata 85.4 peratus kolej komuniti mencapai KPI ini. Golongan belia ini
diharapkan dapat menjana pendapatan sendiri dengan mendapatkan pekerjaan yang
lebih stabil atau membuka perniagaan sendiri berdasarkan bidang kemahiran yang
telah diperolehi.
Rajah 2 : Taburan penyertaan PSH berdasarkan kumpulan sasar.
Sumber : eCCRC 2013 hingga 2015. (JPKK, 2015)
Berdasarkan Rajah 3, secara keseluruhan, 364,387 peserta kumpulan sasar
telah mengikuti PSH yang telah dianjurkan sepanjang 2013 hingga 2015. Bilangan
ini menunjukkan bahawa 42 peratus daripada 871,671 jumlah keseluruhan adalah
peserta dalam kalangan kumpulan sasar. Secara purata 87.8 peratus kolej komuniti
telah mencapai KPI 15 peratus peserta kumpulan sasar daripada keseluruhan peserta
PSH. Bilangan penyertaan ini memberi impak positif kepada penawaran program
PSH di kolej komuniti. Analisis data yang telah diperolehi juga menyokong laporan
dapatan kajian peranan kolej komuniti kepada masyarakat setempat yang dijalankan
oleh Jabatan Pendidikan Politeknik juga menunjukkan kolej komuniti dapat menarik
minat golongan berpendapatan RM3,000 ke bawah (GB40%) dan meningkatkan
tahap sosial ekonomi kepada golongan ini (JPP, 2013).
Miskin tegar 145,108
40%
Warga emas / Pesara 20,402
5%
OKU 9,865
3%
Ibu tunggal 17,560
5%
Orang asli 9,759
3%
Belia 161,693
44%
KUMPULAN SASAR PSH 2013-2015
Rajah 3 : Perbandingan penyertaan kumpulan sasar dengan keseluruhan penyertaan
PSH 2013 hingga 2015.
Sumber : eCCRC 2013 hingga 2015. (JPKK, 2015)
Bagi meningkatkan peratusan penyertaan peserta PSH dan memperkukuhkan
peranan kolej komuniti, maka wajarlah kolej komuniti mempergiatkan program
outreach ke seluruh negara melalui kerjasama strategik dan kolaborasi dengan rakan
industri. Antara program yang diperluaskan untuk menggalakkan penyertaan
kumpulan sasar adalah Program 1Keluarga 1Kemahiran, Teach@CC, eRezeki,
eUsahawan dan lain-lain.
Langkah-langkah mempertingkatkan promosi perlu dirancang dengan lebih
sitematik untuk menarik minat lebih ramai kumpulan sasar menyertai program-
program PSH. Antara usaha yang boleh dijalankan bagi mempercepatkan langkah
ini adalah melalui khidmat masyarakat, penyampaian dan menyebarluaskan
maklumat dengan lebih baik melalui penggunaan ICT, media sosial dan teknologi
terkini. Penggunaan laman sesawang, internet, aplikasi telefon pintar, e-
pembelajaran dan sebagainya dapat dimanfaatkan secara intensif. (KPT, 2011a)
Kumpulan Sasar
364387 42%
Jumlah keseluruhan
PSH 2013-2015: 871,671
KUMPULAN SASAR BERBANDING PSH KESELURUHAN 2013 HINGGA 2015
5. KESIMPULAN
Penyertaan kumpulan sasar dalam program PSH di kolej komuniti telah memberikan
impak positif kepada peranan kolej komuniti sebagai hab PSH. Sepanjang tempoh tiga
tahun pelaksanaan eCCRC, data telah menunjukkan bahawa kolej komuniti amat
responsif terhadap keperluan masyarakat terutamanya enam kumpulan sasar tersebut.
Ini seterusnya dapat melahirkan komuniti yang berilmu dan berpengetahuan (learning
communities) yang dapat menyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi di
samping menjana pendapatan keluarga. Sehubungan itu, pemantauan PSH melalui
eCCRC adalah kekal relevan dan digunapakai untuk meneruskan pelaksanaan PSH di
kolej komuniti seluruh negara.
RUJUKAN
Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti. 2012. Pemerkasaan kolej komuniti 2013-2015.
Kementerian Pendidikan Tinggi.
Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti. 2013. Koleksi informasi terkini kolej komuniti.
Kementerian Pendidikan Malaysia.
Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti. 2015. Koleksi informasi terkini kolej komuniti. Edisi 2015.
Kementerian Pendidikan Tinggi.
Jabatan Pengajian Politeknik. 2013. Laporan kajian: Peranan kolej komuniti KPM kepada
masyarakat setempat di Malaysia.
Kementerian Pengajian Tinggi. 2011a. Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara Fasa 2
(2011-2015).
Kementerian Pengajian Tinggi. 2011b. Meneraju Kegemilangan Ilmu. Khaled Nordin.
Kementerian Pendidikan Tinggi. 2015. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia
(Pendidikan Tinggi) 2015 – 2025.
Kementerian Pendidikan Malaysa. 2014. Education in Malaysia: A Journey to Excellence.
Educational Planning and Research Division. Putrajaya, Malaysia.
Unit Perancang Ekonomi. 2015. Rancangan Malaysia ke-11: Kertas strategi 9:
Mentransformasi TVET bagi memenuhi permintaan industri. Jabatan Perdana Menteri.
Unit Perancang Ekonomi. 2015. Rancangan Malaysia ke-11: Bab 3: Memperkukuh inklusiviti
ke arah masyarakat yang saksama. Jabatan Perdana Menteri.
top related