Click here to load reader
May 02, 2019
| Prosiding Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam, 7-8 November 2018 |
321 | MEDC 2018
METODOLOGI BERFIKIR DALAM PEMBELAJARAN DAN PEMUDAHCARAAN
(PDPC) KEMAHIRAN BERFIKIR ARAS TINGGI (KBAT)
*SHAMILATI CHE SEMAN, 1WAN MAZWATI WAN YUSOFF & 2RAHIMAH EMBONG 1Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
2Universiti Sultan Zainal Abidin *[email protected]
Abstrak: Keunikan manusia terletak pada keinginan mereka untuk mengetahui sesuatu. Sifat inkuiri ini
menjadikan manusia sebagai makhluk Allah swt yang istimewa. Bahkan, manusia mempunyai keupayaan
intelek yang membolehkan kita berfikir untuk membuat sebarang tindakan. Walau bagaimanapun,
keupayaan intelek perlu dipupuk untuk meningkatkan kualiti berfikir seseorang. Oleh itu, kajian ini
dijalankan secara kualitatif untuk meneroka amalan berfikir guru dalam pembelajaran dan pemudahcaraan
(PdPc) Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) di bilik darjah. Data dikumpulkan melalui temu bual dan
pemerhatian separa berstruktur terhadap sembilan informan yang mendapat pendedahan awal tentang
penggunaan alat berfikir dalam PdPc di bilik darjah di sekolah Showcase Program i-THINK Kementerian
Pendidikan Malaysia (KPM). Data yang dianalisis secara tematik bertema mendapati metodologi berfikir
guru dalam PdPc KBAT di bilik darjah berfikrah boleh diklasifikasikan kepada tiga bahagian, iaitu
prinsip berfikir (Bahasa Pemikiran dan Tingkah laku Berfikir); kaedah berfikir (Tabiat Berfikir, Semangat
Insani dan Gaya Berfikir); dan alat berfikir. Metodologi berfikir ini adalah keupayaan kendiri yang tidak
mampu dilaksanakan oleh semua orang kerana proses ini menuntut usaha yang bukan sedikit. Bahkan,
metodologi berfikir ini merupakan suatu mekanisme pemangkin dalam PdPc KBAT. Justeru, seseorang
guru itu perlu berfikir di luar konteks kebiasaan, melihat sesuatu dari pelbagai sudut pandangan yang
berbeza dan bersedia menghadapi pelbagai bentuk kemungkinan yang menyusul.
Kata kunci: Metodologi Berfikir, Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc), Kemahiran Berfikir Aras
Tinggi (KBAT), Bilik Darjah Berfikrah.
PENDAHULUAN
Manusia dikurniakan minda untuk berfikir. Daripada proses berfikir, datangnya maklumat dan
ilmu. Berfikir juga menjadikan kita tahu tentang sesuatu perkara dan menyebabkan kita
berpengalaman. Kebanyakan daripada kita mempunyai minda yang amat bagus, tetapi tidak
mampu untuk menggunakannya dengan sebaik-baiknya. Hal ini disebabkan salah anggapan
kebanyakan daripada kita yang menyangka bahawa semakin bertambah kerap dan banyak
minda digunakan untuk berfikir, semakin bertambah lesu dan penat minda, semakin susah untuk
berfikir. Sebenarnya, semakin bertambah kerap minda digunakan untuk berfikir, semakin
bertambah efisien minda berfungsi.
Ahli psikologi mendapati, pembentukan cara berfikir yang betul dan positif mampu untuk
mengatasi masalah dan berupaya mengenal pasti kelebihan dan kekurangan pada diri. Cara
berfikir yang betul pastinya membawa perubahan yang besar dalam diri. Namun, usaha untuk
membentuk pemikiran khususnya ke arah KBAT pastinya bukan tugas yang mudah. Hal ini
kerana definisi KBAT mempunyai masalah dalam mengoperasi di dalam bilik darjah, bahkan
kesukaran untuk menentukan dengan pasti sejauh mana seseorang itu terlibat dalam pemikiran
aras tinggi. Guru yang berinteraksi dengan beberapa murid sekali gus tidak mempunyai banyak
peluang untuk mendiagnosis secara terperinci keadaan intelektual murid secara individu.
Justeru, mereka membuat andaian terlebih dahulu mengenai tahap pengetahuan sedia ada
Prosiding Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam 2018
Penyunting: Rahimah Embong, Hanif Md Lateh @ Junid, Mustafa Che Omar, Mohamad Zaidin Mohamad & Abdul Hakim Abdullah
eISBN 978-967-2231-03-5 (2018), http: //www.unisza.edu.my/medc2018
mailto:[email protected]
| Prosiding Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam, 7-8 November 2018 |
322 | MEDC 2018
sekumpulan murid dan jenis aktiviti berfikir yang berfungsi sebagai rangsangan terhadap tugas-
tugas tertentu dalam pembelajaran mereka. Oleh itu, cara terbaik guru lakukan dengan
membimbing murid-murid memanipulasikan maklumat untuk menyelesaikan masalah yang
mencabar pemikiran dan menggalakkan serta menyokong usaha murid dalam berfikir.
Oleh itu, guru perlu mendefinisi secara operasi kemahiran berfikir yang diaplikasikan di
dalam bilik darjah dalam konteks yang lebih luas. Hal ini disebabkan kesukaran untuk mengenal
pasti secara khusus kemahiran berfikir yang diajar/dipelajari di dalam bilik darjah dan
kemahiran tersebut tidak sering mewakili kategori tersendiri. Bahkan, aktiviti atau kemahiran
yang diajar adalah lebih daripada satu kategori. Ditambah pula dengan cabaran yang dihadapi
dalam usaha untuk mengajar kemahiran berfikir.
Walau bagaimanapun, guru tidak perlu terlalu bimbang tentang istilah kemahiran atau
kategori berfikir yang digunakan, sebaliknya menumpukan perhatian kepada apa dan bagaimana
untuk menggalakkan percambahan pemikiran murid. Oleh itu, bagi mengajar KBAT di bilik
darjah, guru perlu mengetahui teori yang menyokong pembangunan pemikiran, pedagogi dan
alat-alat berfikir serta menggunakannya dengan cara yang paling efektif. Namun, masih tiada
satu strategi terbaik atau template untuk digunakan oleh guru dalam PdPc kerana gabungan
pelbagai aspek tersebut dengan baik boleh membawa hasil KBAT yang berkualiti. Lantaran itu,
guru perlu kreatif dalam memilih pedagogi atau alat berfikir yang sesuai untuk PdPc KBAT di
bilik darjah masing-masing.
PENYATAAN MASALAH
KBAT diaplikasikan dalam kurikulum, pentaksiran, aktiviti kokurikulum serta teknologi
komunikasi dan maklumat dalam PdPc. Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) merupakan
pemangkin kepada transformasi proses PdPc di bilik darjah dalam usaha untuk memastikan
perubahan paradigma daripada berpusatkan peperiksaan kepada berorientasikan keberhasilan
holistik murid berdasarkan enam aspirasi murid dalam Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia 2013-2015. Jelas bahawa kompetensi guru dalam mengaplikasikan KBAT dalam
PdPc abad ke-21 adalah penting dalam menyediakan murid untuk masa hadapan (Hayati Ismail,
2017).
Sehubungan itu, sokongan guru sangatlah diperlukan untuk kejayaan semua inisiatif
baharu di sekolah, khususnya, PdPc KBAT abad ke-21. Ini juga termasuk menyediakan
pelbagai jenis sumber bahan untuk guru. Guru-guru telah sedia dibebankan dengan banyak
tanggungjawab. Di samping mengajar kelas yang besar, menyediakan murid-murid bagi
menghadapi peperiksaan merupakan antara cabaran terbesar untuk sebarang inisiatif baharu
mencapai kejayaan di bilik darjah dan sekolah. Pada masa ini, kita kekurangan sumber bahan
panduan untuk guru dalam PdPc KBAT. Dengan ini, perlunya usaha menyediakan sumber
bahan untuk mengurangkan beban guru dan juga menyokong guru dalam PdPc KBAT menerusi
standard kandungan subjek supaya lebih menarik dan efektif. Di samping itu, tidak terdapat
skim latihan dalam perkhidmatan yang komprehensif dan sistematik untuk PdPc KBAT.
Selain itu, terdapat sedikit sahaja bilangan bahan bacaan dalam bidang pengajaran
berfikir walaupun dalam masa 30 tahun yang lalu berlaku kemajuan besar dalam sains psikologi
berfikir yang banyak menumpu dan menekankan kepada pencapaian sesuatu tugasan tertentu
dan terdapat bilangan bahan bacaan yang lebih kecil dalam psikologi pemikiran kritis,
produktif, pemikiran aras tinggi dan kreatif (Rajendran, 2017).
Dari segi pembelajaran di bilik darjah, khususnya Vygotsky menekankan perhubungan di
antara berfikir dengan organisasi sosial pengajaran dan pembelajaran. Teras kepada pandangan
Vygotsky tentang perkembangan kognitif adalah fahaman yang mengatakan bahawa pelbagai
jenis pemikiran kompleks dan penaakulan mula timbul kerana interaksi dengan orang lain dan
bahan sumber, kemudiannya diserap atau disesuaikan sebagai bentuk pemikiran sendiri. Ini
kerana pemikiran sebenarnya sesuatu yang subjektif. Walau bagaimanapun, pembelajaran
berlaku hasil daripada perbuatan dan pengalaman dalam menyelesaikan masalah yang
bermakna. Bahkan, pemikiran berkecenderungan untuk membentuk pola tertentu dan
menstrukturkannya.
| Prosiding Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam, 7-8 November 2018 |
323 | MEDC 2018
Sehubungan itu, senario yang paling jelas untuk menganalisis fenomena ini tentulah
melalui penggunaan ibarat yang lazim dalam budaya fikir orang Melayu. Diibaratkan
seseorang itu petani, jika tidak pernah ditunjukkan cangkul sebagai alatnya, apalah yang dia
tahu tentang kerja bercucuk tanam. Jika cangkul itu diperkenalkan pun, jika dia tidak diajari
cara menggunakannya, mustahillah dia akan pandai sendiri. Kalau dia pandai pun, tentulah
kebetulan. Cuba kita fikirkan sejenak, berapa orang murid Malaysia yang pandai kerana
kebetulan? Kalau seseorang itu pandai menggunakannya pun, jika tidak dicernakan dan
diamalkan dalam budaya seharian, kemahiran itu akan hilang. Justeru, pentingnya metodologi
berfikir sebagai suatu mekanisme pemangkin dalam pemikiran aras ting